KOTA KINABALU – Konfrontasi Indonesia-Malaysia pada 1963 antara kenangan tidak dapat dilupakan seorang pesara polis sepanjang 30 tahun berkhidmat dalam Polis Di Raja Malaysia (PDRM).
Memulakan perkhidmatan sebagai anggota polis pada tahun 1962, Mohd. Daud Kalakhan, 75, berkata, dia berada dalam pasukan Mobile Force Platun 5 sewaktu tragedi itu berlaku.
Menurut Mohd Daud, daerah Tawau telah diisytiharkan tidak selamat ekoran Tentera Nasional Kalimantan Utara (TNKU) sudah menceroboh masuk.
“Peristiwa tembak-menembak di Sungai Nyamuk, Indonesia pastinya tidak dapat saya lupakan sampai bila-bila sewaktu konfrontasi itu berlaku.
“Ketua pasukan arahkan kami rampas bot tentera Indonesia yang melalui Pulau Sebatik kerana dalam bot itu ada alat tangkap ikan agar mereka terputus bekalan makanan,” jelasnya.
Ujarnya, tentera Indonesia kemudiannya memberhentikan bot dinaiki di kawasan paya dan melarikan diri ke sempadan.
“Saya dan seorang lagi rakan kemudiannya turun ke paya tetapi ditembak bertubi-tubi oleh tentera Indonesia yang bersembunyi,” jelasnya kepada Kosmo! semalam.
“Sewaktu mendekati bot terbabit, tembakan bertubi-tubi dilepaskan tentera Indonesia tetapi kami sempat bersembunyi di dalam paya,” katanya.
Mohd Daud berkata, dia turut membalas tembakan musuh sambil mengheret bot yang digunakan tentera Indonesia dan menghampiri bot marin yang mereka naiki, dia dan rakan bernasib baik tidak cedera.
Sementara itu, Mohd Daud meminta semua rakyat seluruh khususnya generasi muda terus menghargai kemerdekaan seterusnya pembentukan Malaysia yang terdiri dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Pengorbanan semua anggota keselamatan yang sentiasa berjuang mempertahankan keamanan negara wajib dihargai malahan berilah penghargaan yang sewajarnya,” katanya.