KUANTAN – Seorang guru sekolah di Jerantut bukan sahaja dituduh terbabit dengan tuntutan palsu dan penggubahan wang haram malah wang simpanan berjumlah RM36,000 dalam akaun banknya juga hilang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, tuduhan berkenaan sekadar taktik sindiket penipuan untuk memperdaya mangsa.
“Kejadian bermula pada 3 September lalu apabila mangsa menerima satu panggilan yang memperkenalkan diri sebagai wakil dari sebuah syarikat insurans yang mengatakan mangsa ada membuat empat tuntutan kemalangan berjumlah RM76,800.
“Mangsa menafikan perkara itu dan pihak terbabit mengatakan mangsa perlu membersihkan namanya kerana tuntutan itu adalah tuntutan palsu,”katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Menurutnya, mangsa kemudian disambungkan kepada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis berpangkat sarjan yang mengatakan mangsa terlibat dengan penggubahan wang haram berjumlah RM2.18 juta.
Katanya, mangsa kemudian diminta berurusan dengan dua individu dikenali sebagai Tuan Chong dan Tuan Yong dan mangsa juga disuruh untuk menyimpan nombor telefon mereka dengan nama lain.
“Mangsa turut diarahkan untuk membeli satu nombor baharu serta memadam semua rekod panggilan sebelum ini selain diminta membuka akaun bank baharu serta menggunakan enam digit nombor kad pengenalan sebagai nombor pin akaun bank.
“Suspek juga memesan kepada mangsa supaya tidak menceritakan perkara itu kepada sesiapa,”katanya.
Mohd Wazir berkata, mangsa hanya menyedari ditipu selepas membuat semakan akaun bank miliknya semalam dan mendapati wang simpanannya berjumlah RM36,000 telah tiada. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929