KUALA PERLIS – Feri pertama yang membawa penumpang dari Terminal Feri Kuala Perlis ke Pulau Langkawi pada hari pertama gelembung pelancongan semalam mengalami kelewatan kira-kira 30 minit kerana sebahagian besar penumpang tidak melakukan ujian pengesanan Covid-19 sebelum memulakan perjalanan.
Feri pertama yang sepatutnya berlepas pada pukul 9.30 pagi tadi terpaksa ditangguhkan pada pukul 10 pagi kerana terpaksa menunggu penumpang yang masih menjalankan ujian pengesanan tersebut di terminal berkenaan.
Tinjauan mendapati rata-rata penumpang tidak membuat ujian pengesanan lebih awal dan mereka menggunakan kit ujian Covid-19 yang disediakan Kementerian Kesihatan (KKM) yang diberikan secara percuma, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, petugas KKM terpaksa mengambil masa yang agak panjang untuk melakukan ujian kepada semua orang.
Katanya, mengikut prosedur operasi standard (SOP), terdapat dua cara untuk menjalani ujian iaitu sama ada membeli sendiri kit ujian dari luar atau membeli sendiri di terminal seterusnya menyerahkan hasil ujian untuk memastikan mereka negatif.
“Saya difahamkan untuk hari ini KKM akan tolong buat ujian tersebut kepada penumpang, namun selepas ini mereka yang tidak mempunyai keputusan ujian pengesanan tersebut tidak akan dibenarkan ke Pulau Langkawi.
“Ujian pengesanan lebih awal tidak akan menyebabkan kesesakan yang teruk dan diharapkan tidak akan berlaku selepas ini,” katanya selepas membuat tinjauan pemantauan di terminal feri tersebut di sini hari ini. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929