PASIR MAS – Polis menahan seorang lelaki yang membawa sebanyak 1,200 biji pil kuda di dalam kereta dipandunya di sekatan jalan raya (SJR) di hadapan Balai Trafik Pasir Mas di sini semalam.
Suspek yang berusia 28 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari semasa memandu sebuah kereta jenis Proton Waja.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, sebelum menahan kenderaan itu, anggota trafik melihat suspek berada dalam keadaan gelisah dengan tangan kirinya memegang satu bungkusan plastik.
“Lelaki itu telah bertindak mencampak bungkusan plastik tersebut ke tempat duduk bahagian belakang pemandu.
Melihat kepada tindakan itu, anggota trafik terus mengarahkan suspek memberhentikan kereta berkenaan.
“Pemeriksaan di bahagian tempat duduk kereta itu telah menjumpai satu bungkusan plastik mengandungi 1,200 biji pil kuda yang bernilai RM12,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Nasaruddin memberitahu, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah methamphetamine selain mempunyai enam rekod jenayah lampau kes dadah.
Ujarnya, suspek mengaku kesemua dadah yang berada di dalam kereta itu adalah miliknya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929