LONDON – Seorang penulis Perancis mencetuskan kontroversi apabila mengemukakan cadangan untuk mengharamkan penggunaan nama Muslim bagi rakyat negara itu, lapor akhbar Arab News, semalam.
Eric Zemmour yang dilaporkan bakal bertanding sebagai calon presiden Perancis sudah lama memperjuangkan kepercayaan bahawa kemasukan warga asing untuk menetap di negara itu perlu disekat.
Dia juga berpendapat bahawa warga asing yang bermastautin di Perancis perlu menyesuaikan diri dengan adat budaya tempatan.
Zemmour berkata, sekiranya dia dipilih menjadi Presiden Perancis, satu undang-undang yang diperkenalkan oleh Napoleon Bonaparte pada 1803 akan dikuatkuasakan semula.
Undang-undang tersebut hanya membenarkan penggunaan nama-nama Kristian dalam kalangan penduduk tempatan.
Ia telah dimansuhkan pada tahun 1993 oleh Presiden Francois Mitterand yang merupakan presiden Perancis paling lama memegang jawatan tersebut.
“Seorang lelaki warganegara Perancis tidak berhak menamakan anaknya Muhammad. Kita perlu menjadikan negara ini milik rakyat Perancis semula.
“Generasi pendatang zaman dahulu tidak mempunyai masalah menukar nama mereka seperti kebanyakan orang Perancis.
“Jadi, saya tidak melihat sebarang masalah untuk masyarakat Muslim turut melakukan perkara sama dan berhenti menamakan anak mereka Muhammad,” kata Zemmour. – Agensi