fbpx

BWI dinaikkan kepada RM1,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri (dua dari kiri) menyampaikan replika cek bantuan bencana kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor di Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini. GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Kadar Bantuan Wang Ihsan (BWI) kini dinaikkan daripada RM500 kepada RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah (KIR) yang terjejas ketika Monsun Timur Laut (MTL) atau yang terkesan dengan lain-lain bencana yang diisytiharkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, inisiatif BWI itu dijangka akan meringankan beban lebih 39,100 ketua isi rumah yang melibatkan peruntukan lebih RM39.5 juta daripada Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN).

“Pemberian bantuan ini bukanlah satu bentuk pampasan atau ganti rugi terhadap kerosakan rumah dan harta benda yang dialami mangsa tetapi untuk mengurangkan beban yang ditanggung.

“Ini antara pendekatan baharu yang diambil oleh kerajaan dalam usaha menambah baik pengurusan dan kesiapsiagaan menghadapi MTL yang dijangka berlaku pada awal November 2021 sehingga penghujung Mac 2022 melibatkan negeri-negeri seperti Pantai Timur, Johor, Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail Sabri dalam lawatan kerja rasminya Sabah pada hari ini turut mengumumkan Peruntukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) kepada negeri berkenaan berjumlah RM18,241,250 yang bertujuan melancarkan proses menguruskan tindak balas bencana agar kebajikan rakyat yang terjejas sentiasa dipelihara.

Beliau memaklumkan, peruntukan itu adalah bagi perolehan 2,000 unit Kit Makanan (RM160,000); pembelian 2,500 unit C-Tent (RM961,250); Operasi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (RM20,000); operasi 22 daerah Jawatankuasa Pengurusan Bencana (RM1.1 juta) dan pengurusan operasi Covid-19 di Sabah (RM16 juta).

“Saya berharap sebahagian daripada peruntukan ini dapat digunakan untuk pengurusan bencana dan meringankan beban mangsa-mangsa kejadian tanah runtuh di Penampang, Sabah semalam. Saya turut bersimpati kepada keluarga mangsa yang terkorban,” katanya.

Menurut beliau, atas dasar prihatin dan tanggungjawab kepada kerajaan negeri yang menghadapi kesukaran menguruskan bencana MTL sepanjang tahun juga, peruntukan bernilai RM9.5 juta bagi perbelanjaan operasi dalam MTL 2021/2022 akan disalur menggunakan KWABBN. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI