BARCELONA – Pengendali Bayern Munich, Julian Nagelsmann menganggap Barcelona bukan lagi lawan yang wajar digeruni selepas pasukannya menang mudah 3-0 ketika berkunjung ke Stadium Camp Nou awal pagi semalam.
Ia adalah aksi pertama Barcelona turun dalam kancah Liga Juara-Juara tanpa kelibat pemenang enam Ballon d’Or, Lionel Messi yang berhijrah ke Paris Saint-Germain bulan lalu.
Ternyata, ketiadaan Messi menyaksikan Barcelona gagal menghadirkan sebarang ancaman berbahaya kepada Bayern sepanjang 90 minit dalam aksi pembukaan Kumpulan E itu.
Menurut Nagelsmann, Barcelona ternyata berbeza apabila lebih banyak bertahan di kawasan sendiri dan menanti peluang untuk melakukan serangan balas yang menyaksikan mereka tiada percubaan tepat ke arah gawang Bayern.
“Jika Messi masih ada di Barcelona, mungkin dia boleh melakukan serangan atau meledak gol dalam aksi ini. Inilah lumrah bola sepak kerana sangat jelas sebenarnya melihat Barcelona bergelut selepas kehilangan pemain seperti Messi.
“Pujian wajar diberikan kepada benteng pertahanan kami yang tidak membuka ruang kepada jentera serangan lawan daripada melakukan percubaan berbahaya,” katanya.
Sementara itu, penyerang utama Bayern, Robert Lewandowski berpuas hati apabila dapat meledak dua gol untuk memastikan pasukannya memulakan kempen Liga Juara-Juara musim ini dengan langkah kanan.
“Saya teruja kerana dapat menjaringkan dua gol di stadium keramat ini (Camp Nou) meskipun tanpa kehadiran penuh penyokong ekoran Covid-19. Ia adalah permulaan sempurna dan saya mahu momentum ini diteruskan,” katanya. – AGENSI