KOTA BELUD – Seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang sejak Sabtu minggu lalu ditemui sepasang suami isteri ketika mereka dalam perjalanan ke Hospital Kota Belud kira-kira pukul 7.45 pagi, hari ini.
Mangsa, Tianun Padis, 86, difahamkan ditemui berjalan seorang diri dan berada keadaan kepenatan selain mengalami kecederaan ringan sebelum dihantar pulang ke rumahnya.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Sahimi Husin berkata, menurut maklumat yang diterima, pasangan suami isteri berkenaan melihat wanita warga emas terbabit sedang berjalan keluar dari jalan laluan kenderaan pacuan empat roda di kampung Ginapas.
“Pasangan itu yang mengenali mangsa sebagai orang hilang kemudiannya membantu warga emas berkenaan sebelum menghantarnya pulang ke rumah.
“Mangsa yang berasal dari Kampung Kalibungan Rosok ditemui kira-kira 1.24 kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dalam keadaan keletihan dan terdapat kecederaan ringan.
Mengulas lanjut, Sahimi menyatakan PKTK ditutup dengan rasminya pada pukul 9.30 pagi tadi sejurus penemuan warga emas berkenaan.
Terdahulu, mangsa dilaporkan hilang pada Sabtu lalu sejurus memberi makan kepada ternakan ayam dan kucing yang terletak kira-kira 500 meter dari kediamannya.