KOTA KINABALU – Seorang suami bagai hilang kata-kata apabila isteri sarat mengandung bersama anak perempuan berusia lapan bulan meninggal dunia dalam kejadian tanah runtuh di Forest Hill, Jalan Bundusan petang tadi.
Zul Azmil Omar, 34, berkata, dia tidak berada di rumah sewaktu kejadian berlaku berikutan keluar bekerja manakala isteri dan dua anaknya berada di rumah.
Jelasnya, kali terakhir bertemu isteri sebelum keluar bekerja siang tadi selepas dihubungi rakan malah sempat berpesan kepadanya agar menghubungi saya dengan kadar segera jika berlaku sebarang kejadian.
“Saya memang melihat cuaca kurang baik ketika keluar rumah dan hujan mula turun dengan lebat sekitar pukul 2 petang.
“Kira-kira pukul 3.40 petang, saya dihubungi oleh seseorang yang memaklumkan ada tanah runtuh dan meminta saya pulang dengan kadar segera,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian sebentar tadi.
Bagaimanapun, Zul Azmil memaklumkan dia sampai lewat di rumah ekoran keadaan jalan yang banjir ketika itu.
“Sebaik tiba, saya dimaklumkan isteri saya meninggal dunia. Isteri saya sedang mengandung ketika ini.
“Seorang anak saya berusia satu tahun selamat manakala seorang lagi yang berusia lapan bulan meninggal dunia,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman yang turut berada di lokasi kejadian mengesahkan tiga maut dalam kejadian terbabit.
Katanya, tiga yang maut dikenali sebagai, Salmah Hamid, 25, dan anaknya, Dayana Zul Azmil berumur lapan bulan serta seorang lagi kanak-kanak dikenali sebagai Rosatima Asbirin berusia lima tahun.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929