PUTRAJAYA – Pasukan Bertindak Imunisasi Covid-19 Remaja (CITF-A) menyasarkan 60 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada November ini dan 80 peratus remaja mendapat dos lengkap sebelum sekolah dibuka pada sesi 2022.
Untuk tujuan itu, Kementerian Kesihatan membangunkan portal pendaftaran institusi pendidikan iaitu Portal Vaksin-Anak-Ku sebagai langkah awal dalam pemberian vaksin Covid-19 kepada remaja dengan keutamaan mereka berumur 16 dan 17 tahun yang akan menduduki peperiksaan awam dan remaja dengan komorbid.
CITF-A yang yang dipengerusikan Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, semua sekolah, institusi pendidikan, perlindungan dan pemulihan kerajaan dan swasta dimohon untuk mendaftarkan institusi masing-masing di portal tersebut.
Katanya, ibu atau bapa dan penjaga kepada remaja disarankan mendaftarkan anak mereka sebagai tanggungan di dalam aplikasi MySejahtera bagi membolehkan golongan itu mendapatkan sijil vaksinasi digital MySejahtera masing-masing.
“Jenis vaksin yang digunakan adalah Comirnaty keluaran Pfizer Bio-NTech dengan dua dos suntikan. Vaksin tersebut mendapat kelulusan berstatus pendaftaran bersyarat oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
“Jawatan kuasa bertindak CITF-A yang ditugaskan membuat penetapan dasar dan penyelarasan pelaksanaan pelan vaksinasi remaja itu akan memastikan sasaran tersebut dapat dicapai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929