PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa syukur dan sukacita dengan kerjasama rentas parti yang dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik pada Isnin lalu.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata baginda berharap, kemelut politik dapat diakhiri dengan segera dan Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat mengenepikan agenda politik dan bersatu hati menangani pandemik Covid-19.
“Seri Paduka Baginda mengulangi pandangan bahawa rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik tidak berkesudahan ketika negara bergelut dengan isu kesihatan dan kelembapan ekonomi akibat wabak Covid-19.
“Seri Paduka Baginda menegaskan ia selaras pendirian Raja-Raja Melayu berhubung pentingnya pembentukan kerajaan yang stabil dan berfungsi dengan cekap serta berhemah dalam keadaan negara berdepan pelbagai krisis,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.
Menurutnya, Seri Paduka Baginda turut menasihati Ahli-ahli Dewan Rakyat supaya memberi keutamaan kepada kemasalahatan rakyat dan kesejahteraan negara pada sidang Parlimen yang berlangsung pada masa ini.
Seri Paduka Baginda turut menzahirkan keyakinan proses pemulihan ekonomi dapat dipercepatkan selari kestabilan politik dan peningkatan kadar vaksinasi penduduk serta bantuan tambahan dari kerajaan.
“Seri Paduka Baginda menegaskan kerjaaan perlu mempercepatkan penggubalan dasar-dasar mesra perniagaan dan pelaburan bagi meningkatkan daya saing negara.
“Seri paduka turut menyeru seluruh rakyat menunjukkan solidariti dan sokongan padu kepada petugas barisan hadapan dan berdisiplin mematuhi Prosedur Operasi Standard serta semua peraturan yang ditetapkan kerajaan,” ujarnya. – K! ONLINE