fbpx

Pekerja asing didenda hingga RM6,000 guna KP palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tujuh warga asing yang menggunakan kad pengenalan palsu dan milik orang lain tiba di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini.

SHAH ALAM – Tujuh pekerja kilang tekstil warga asing termasuk seorang lelaki didenda antara RM3,000 hingga RM6,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku bersalah menggunakan kad pengenalan palsu, semalam.

Mereka adalah empat warga Filipina iaitu Ridhwan Likung,28; Nona Najuk, 45; Masriyah Ismail,40 serta Nurmina Kipli, 45, dan tiga warga Indonesia terdiri Salina Hussin, 48, Mulyani, 47 dan Sundari, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali.

Mereka juga diperintahkan menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka telah menggunakan salinan kad pengenalan palsu dan milik orang lain atas pelbagai nama sebagai dokumen pengenalan diri untuk bekerja.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah kilang di Seksyen 26, Taman Perindustrian Hicom di sini kira-kira pukul 2 petang semalam.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua duanya sekali mengikut Peraturan 25 (1) (e), Peraturan Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Kosmo! difahamkan kesemua mereka memasuki negara ini menggunakan pasport dari Sabah sebelum membeli kad pengenalan dengan harga antara RM250 hingga RM500.

Mereka juga telah menggunakan kad pengenalan itu antara lima bulan hingga dua tahun dengan tiga daripadanya menggunakan kelebihan kad pengenalan itu bagi mendapatkan vaksin di daerah ini sebagai warganegara.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Zukarnain Ahmad manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI