fbpx

Paru-paru rosak, mental pun terjejas – Aishah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AISHAH mengakui kesan jangkitan Covid-19 kini masih dirasakan walaupun telah keluar dari wad hospital sejak 10 September lalu.

PETALING JAYA – Mimpi ngeri mana-mana pesakit Covid-19 kini turut dihadapi penyanyi popular, Aishah apabila berdepan kerosakan paru-paru hampir 20 peratus walaupun disahkan bebas daripada virus berkenaan sejak dibenarkan keluar wad 10 September lalu.

Aishah berkongsi situasi murung dilaluinya itu menerusi kemas kini yang dimuat naik dalam Instagramnya.

Pelantun lagu Camar Yang Pulang itu bagaimanapun memanjatkan kesyukuran apabila paras oksigen, gula dalam darah dan bacaan tekanan darahnya dalam keadaan baik.

“Lima hari selepas keluar hospital, alhamdulillah, paras oksigen, gula dalam darah dan tekanan darah semua okey.

“Saya diberitahu kerosakan pada paru-paru saya lebih kurang dalam 20 peratus.

“Walaupun anda nampak saya macam hyper (bertenaga) dan ada yang risau mungkin saya terlalu ‘hyper’. Sebenarnya saya paksa diri saya untuk buat macam itu,” tulisnya.

Tambah pemilik nama lengkap Wan Aishah Wan Ariffin, 56, dia mengakui cepat letih dan sering merasa dirinya seperti tidak stabil usai bebas daripada wabak tersebut.

“Dari segi fizikal, saya rasa cepat penat terutama bila naik turun tangga dan tidak boleh berdiri lama.

“Badan rasa melayang, kena cepat-cepat baring. Tetapi, saya sangat bersyukur masih berada di sini. Mohon doakan saya pulih sepenuhnya,” katanya lagi.

Akui Juara Gegar Vaganza musim keempat itu lagi, jangkitan Covid-19 bukan sahaja menyerang fizikal, malah mentalnya turut terjejas kerana virus maut tersebut.

“Tak tahulah sama ada saya sahaja yang merasakan impak ini. Pemikiran saya ini kalau tak kuat.

“Traumanya boleh buat kita termenung sahaja. Otak bercelaru dan trauma, kalau saya layankan boleh jadi zombi.

“Kadang-kadang, bila bercakap, pemikiran itu hilang. Sampaikan perkataan pun boleh lupa, macam jadi kurang cerdik pula. Alhamdulillah, kesan itu saya lawan dengan sentiasa mengaji dan berzikir,” tulisnya lagi.

Justeru katanya, proses pemulihan untuk dirinya akan mengambil masa yang cukup lama.

Terdahulu, Aishah dimasukkan ke Hospital Ampang pada 30 Ogos lalu selepas disahkan positif Covid-19 dan mengalami simptom demam panas serta batuk.

Dua hari dirawat, oksigen dalam badannya menurun ke paras 88 peratus selepas doktor cuba membuka alat pernafasan yang digunakan.

Aishah disahkan bebas Covid-19 dan dibenarkan pulang ke rumah 12 hari selepas dirawat di Hospital Ampang, Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI