GUA MUSANG – Dua helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) digunakan untuk menghantar petugas bersama vaksin jenis CanSino ke enam pos penempatan Orang Asli di pedalaman negeri ini bermula hari ini.
Ketua Cawangan Pengurusan Operasi Udara JBPM, Penguasa Kanan Bomba I Roslan Aziz berkata, penghantaran selama empat hari berturut-turut itu menggunakan khidmat helikopter jenis Agusta 109E dan Mi-17 dari Pangkalan Udara Wilayah Tengah JBPM Subang, Selangor
Katanya, enam pos tersebut adalah Pos Hau, Pos Bihai, Pos Belatim, Pos Balar, Pos Simpor dan Pos Gob melibatkan 15 kampung dnegan keadaan cuaca dan masa menjadi cabaran petugas yang membawa vaksin berkenaan.
“Kita perlu memastikan kualiti vaksin yang dihantar tidak terjejas dan selamat agar mencapai objektif pihak Jabatan Kesihatan. Sebarang kelewatan atau kesilapan ketika penghantaran vaksin boleh merugikan kerajaan dan rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Sivik di sini hari ini.