KANGAR – Pengusaha restoran ikan bakar di Kuala Perlis dekat sini berharap tambahan laluan operasi feri di Terminal Feri Kuala Perlis dan pembukaan semula Langkawi dapat menghidupkan kembali pekan yang terkenal dengan makanan laut itu.
Tinjauan Kosmo! di Medan Selera Laman Brasmana kelmarin mendapati dua daripada lapan premis sudah mula beroperasi sejak sebulan lalu.
Bagaimanapun, bilangan pelanggan pula berkurangan apabila terpaksa bergantung dengan penduduk di negeri ini selain kes Covid-19 yang masih tinggi.
Pembukaan semula operasi terminal feri dan Pulau Langkawi esok dijangka dapat merancakkan kembali aktiviti perniagaan di lokasi tersebut.
Pemilik Restoran Edah Ikan Bakar, Arnizal Azizan, 37, berkata, peniaga ikan bakar sememangnya mengalu-alukan pembukaan semua feri penumpang yang pastinya dapat membawa pelancong masuk ke Kuala Perlis.
“Selama berbulan-bulan pendapatan kami terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan. Kesannya bukan sahaja kepada tauke restoran tetapi pekerja.
“Apabila mendapat tahu Langkawi akan dibuka semula, kami bersemangat untuk berniaga,” katanya.
Menurut Arnizal, jualannya kini masih kurang apabila hanya menjual 10 ekor ikan sehari berbanding 70 hingga 100 ekor sehari sebelum pandemik Covid-19.
Jelasnya, peniaga-peniaga lain masih tidak membuka premis masing-masing kerana tidak mahu mengambil risiko disebabkan penularan wabak berkenaan.
Sementara itu, pekerja Restoran Mona Ikan Bakar, Anuar Fitri Harun, 49, pula memberitahu, pelanggan di premisnya mula meningkat sejak dua hingga tiga minggu lalu dan berharap akan terus rancak apabila Langkawi dibuka semula.
“Kami sudah dua bulan beroperasi, tetapi bagi bulan pertama hanya bungkus dibenarkan.
“Jadi memang kami alu-alukan bila sektor pelancongan dibuka supaya semua bekerja dapat bekerja semula. Sekarang jumlah pekerja yang dibenarkan hanya lima orang daripada keseluruhan 10 orang,” ujarnya.