SEWAKTU dirakamkan dan dilancarkan pada 2017, single Bahagia nyanyian Eza Edmond pernah mendapat sambutan yang cukup menggalakkan. Selepas empat tahun, impak Bahagia kini merebak apabila kembali tular, bukan di Malaysia, sebaliknya di Indonesia.
Bagi penyanyi berusia 23 tahun itu, dia sebenarnya tidak menyangka sambutan dahsyat yang diberikan peminta muzik di seberang sehinggakan ramai yang meminta kebenaran untuk merakamkan semula lagu tersebut.
“Ini memang sesuatu yang di luar jangkaan. Dahulu lagu ini sudah tular di sana selepas dilancarkan berdasarkan komen yang mereka tinggalkan pada muzik video. Ada juga yang memuat naik video sendiri sehingga mendapat jutaan tontonan.
“Kini Bahagia sekali lagi tular di sana. Pelbagai versi sudah dirakamkan pelbagai pihak dan sedikit sebanyak memberikan kelebihan kepada saya yang masih belum dikenali ramai,” katanya merendah diri.
Semuanya bermula apabila lagu tersebut diolah semula oleh beberapa orang deejay (DJ) popular di Indonesia dalam pelbagai versi termasuklah remix dan sebagainya.
Antara deejay yang tertarik dengan lagu berkenaan termasuklah DJ Komang yang sememangnya popular di sana. Muzik versi remix yang diadun mendapat tular dalam aplikasi TikTok, seterusnya menambahkan lagi populariti lagu berkenaan.
Versi remix rakaman Komang juga dimuat naik ke YouTube dan ditonton lebih 20 juta kali.
Sehingga kini, sudah lebih 20 syarikat muzik dan lebih 30 penyanyi dari negara seberang meminta kebenaran daripada syarikat rakaman naungannya, Sheikh Qalam Records untuk merakamkan semula lagu Bahagia.
Terdapat juga dalam kalangan peminat sudah merakamkan semula lagu berkenaan dalam bahasa Jawa dan pelbagai bahasa kaum di sana serta mengeluarkan semula dalam YouTube.
Selain itu, ada juga yang meminta kebenaran untuk menggubah lagu ini kepada versi lain seperti jazz, dangdut, rock dan akustik.
“Tak tergambar dengar kata-kata apabila lagu ini menjadi sebegitu besar di sana ketika ini.
“Saya anggap ini rezeki kepada semua yang terlibat dalam pembikinan Bahagia. Mereka bekerja keras dahulu dan hasilnya baru dilihat sekarang.
“Setidaknya dengan sambutan yang diberikan membuatkan saya mahu bekerja lebih keras untuk menempatkan nama dalam industri,” kata anak kelahiran Papar, Sabah itu.
Tambah Eza, dia gembira apabila lagu berkenaan turut dinyanyikan Bulan Sutena, salah seorang penyanyi baharu yang sedang meningkat popular di Indonesia.
Impak persembahan berkenaan, semakin ramai cuba mengenali penyanyi asal lagu Bahagia yang kini ditukar tajuk menjadi Setiap Yang Ku Lakukan Untuk Mu itu.
“Saya mahu berterima kasih kepada Hazmi Fahim yang menciptakan lagu yang indah ini. Terima kasih juga kepada semua yang terus memberikan semangat kepada saya.
“Insya-Allah ada sesuatu yang besar akan saya lalukan sedikit masa lagi. Apa-apa pun kena tunggu,” katanya.