Pejam celik, pejam celik, lebih kurang dua minggu lagi kita akan memasuki bulan Oktober. Sudah pasti Oktober adalah bulan yang mendebarkan orang ramai kerana negara dijangka memasuki fasa endemik.
Ini berdasarkan maklumat yang disampaikan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berhubung dapatan saintis di seluruh dunia yang mengatakan sukar untuk mencapai imuniti kelompok ekoran kemunculan pelbagai varian baharu yang mengancam nyawa.
Susulan itu, sehingga kini carian kata kunci fasa endemik di media sosial menunjukkan topik tersebut menjadi bualan ramai. Pelbagai pendapat disuarakan oleh rakyat, baik yang bersetuju mahupun tidak bersetuju.
Selepas sekian lama hidup dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya pasti ramai penduduk telah pun bersedia untuk terus hidup bersama-sama virus Covid-19.
Cuma yang membimbangkan ialah adakah prosedur operasi standard (SOP) yang dirangka kerajaan relevan dan bolehkah masyarakat memahami dan menerima fasa endemik ini?.
Pakar Perunding Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Seri Dr. Zulkornain Ahmad berkata, memasuki fasa endemik, ia tidak bergantung kepada kadar vaksinasi tinggi sahaja, tetapi kesedaran mengenai pematuhan SOP haruslah berjalan seiring.
Mengakui masih terlalu awal untuk Malaysia beralih ke fasa endemik, Zulkornain berkata, setiap pihak perlu memainkan peranan penting bagi memastikan pematuhan SOP dapat dipertingkatkan dan dikekalkan terutama sekali apabila kes harian masih merekodkan angka tinggi.
“Apabila merentas daerah di Lembah Klang dibenarkan, boleh lihat masih ramai yang tidak cakna dengan pematuhan SOP. Hujung minggu lalu hampir semua lokasi tumpuan sesak hingga sukar untuk mengekalkan penjarakan fizikal.
“Justeru, perkara ini harus dilihat dengan lebih teliti kerana jelas menunjukkan ramai lagi yang tidak sedar. Walaupun bakal ke fasa endemik tidak bermakna virus Covid-19 sudah tiada. Kerajaan perlu memainkan peranan yang amat besar untuk memastikan orang ramai faham apa itu endemik,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, beralih ke fasa endemik adalah baik, namun perlukan kesedaran dan kefahaman yang amat tinggi dalam diri masyarakat.
“Apabila masuki fasa endemik, bermakna kita memasuki fasa mitigasi yang mana di sekeliling kita ada virus Covid-19. Sebagai contoh, penyakit demam denggi dan banyak lagi. Covid-19 kini sudah menjadi penyakit yang memang ada dalam komuniti.
“Penting untuk orang ramai ambil langkah berjaga-jaga dengan cara ambil vaksin dan kekalkan amalan pematuhan SOP seperti memakai pelitup muka serta menjaga penjarakan fizikal secara berterusan.
“Selain itu, penyampaian maklumat yang efektif harus bermula dari sekarang untuk membolehkan semua pihak bersedia memasuki fasa tersebut,” ujarnya.
Natijahnya, mahu atau tidak, kita perlu bersedia memasuki fasa endemik yang memerlukan perubahan tingkah laku dalam norma baharu.
Dalam keadaan pandemik mahupun endemik, kita tidak boleh sama sekali mengabaikan SOP. Semua orang perlu menerima hakikat bahawa virus Covid-19 kini telah menjadi sebahagian daripada hidup kita.