PETALING JAYA – Purata tempahan bilik yang diterima hotel-hotel bertaraf empat dan lima bintang di Langkawi kini telah mencapai kadar 50 peratus, menjelang pembukaan gelembung pelancongan di pulau peranginan tersebut pada 16 September ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, data daripada Persatuan Hotel Malaysia bagaimanapun menyatakan kadar tempahan bilik bagi hotel berstatus tiga bintang dan ke bawah adalah lebih rendah, sekitar 20 hingga 30 peratus.
“Kami telah bersedia menerima kunjungan, kadar vaksinasi di Langkawi kini telah mencapai 92 peratus bagi sekurang-kurangnya dos pertama dan 88 peratus untuk dos kedua.
“Langkawi turut mempunyai hotel khas bagi tujuan kuarantin yang mempunyai 120 bilik dan bagi pelancong yang tidak mampu, mereka boleh memilih untuk menggunakan kemudahan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 dengan 100 buah katil.
“Kami menyasarkan untuk menerima kunjungan 400,000 pelancong sepanjang tempoh tiga bulan setengah ini sehingga akhir tahun,” katanya dalam sidang akhbar bersama AirAsia yang diadakan secara maya semalam.
Turut hadir CEO AirAsia Malaysia, Riad Asmat dan CEO airasia Super App Amanda Woo.
Sementara itu, Riad berkata, pihaknya akan memulakan semula penerbangan ke Langkawi dengan menawarkan 90 penerbangan seminggu dari Kuala Lumpur (63 kali seminggu) Pulau Pinang (14) Johor Bahru (7), Ipoh (3) and Kota Bharu, juga sebanyak tiga kali seminggu.
“Sambutan diterima amat menggalakkan, kami lihat ada permintaan yang terpendam untuk melancong dan pada hari pertama penawaran (pada 9 September lalu) sejumlah 30,000 tiket penerbangan berjaya dijual.
“Sehingga kini jumlah tempahan telah melebihi 200,000. Penerbangan untuk bulan September serta Oktober pantas terjual dan kami yakin momentum ini akan berterusan,” katanya.