DILAHIRKAN sebagai orang kelainan upaya (OKU) sindrom Down bukan penghalang buat Yulissa Arescurenaga untuk mengejar cita-cita sebagai jurulatih zumba sekali gus membuktikan kemampuan dirinya kepada dunia.
Berkat kerja keras dalam membuat latihan zumba, gadis berusia 29 tahun itu berjaya dinobatkan sebagai jurulatih bertauliah zumba pertama dalam kalangan penghidap sindrom Down di Amerika Syarikat (AS) dan dunia.
Anak kelahiran Lima, Peru itu, sebenarnya mula mencuba zumba pada tahun 2008 dan dia mula jatuh cinta dengannya selepas dua kali menghadiri kelas tarian kecergasan tersebut.
Sejak itu, Yulissa bertekad dan memasang cita-cita untuk bergelar jurulatih zumba sehingga dia berlatih selama enam jam setiap hari di rumahnya.
“Tarian zumba untuk semua orang dan bukan dikhaskan kepada golongan tertentu, malah kita boleh melakukannya dengan mudah.
“Ketika berzumba kita tidak berasa seperti melakukan senaman, sebaliknya berasa seolah-olah berada dalam parti atau pesta,” kata Yulissa yang kini bertugas di Zumba Fitness di Physique Magnifique Fitness and Personal Training Center, California.
Dia yang tinggal di South San Francisco, California mendapat sokongan penuh daripada ibu, Marlene Palomino dalam merealisasikan impian tersebut sehingga memperoleh lesen sebagai pengajar zumba pada tahun 2012.
Terbaharu, pada April lalu, wanita itu mengunjungi Newton, AS untuk membantu memimpin kelas Master Zumba bersama seorang pengajar zumba tempatan, Maritza Rafael.
Menyentuh mengenai impak anaknya terhadap zumba, Marlene berkata, Yulissa sangat bermotivasi dan mempunyai sifat percaya diri yang tinggi sejak mengikuti kelas zumba. Dia juga amat gembira apabila berjaya menjadi guru tarian senaman itu.
“Anak saya seorang yang sangat pemalu tetapi karakternya berubah apabila berada di atas pentas.
“Ketika mendengar muzik, dia begitu gembira dan menjadi orang yang lebih bersemangat,” katanya.
Kisah Yulissa mula meraih perhatian ketika dia pergi ke Alaska pada tahun 2016 untuk memimpin kelas tarian zumba di sana selama dua hari sehingga keunikannya berjaya dihidu media.
Selain sibuk menjadi guru zumba untuk dua hingga lima sesi kelas sehari, wanita itu turut mengajar tarian tersebut kepada golongan OKU di National Down Syndrome Congress, Alaska.
“Dia melakukan gerakan itu dengan sangat baik dan tidak tertinggal satupun.
“Yulissa membuktikan yang dia memang hebat dalam zumba dan sindrom Down itu tidak menjadi halangannya,” ujar Liam Mamikunian iaitu salah seorang daripada 50 pelajar normal yang mengikuti salah satu kelas wanita itu.
Liam sangat berbangga dengan kejayaan Yulissa dan para pelajar mengambil inisiatif mengumpul dana untuk membantu perjalanannya dalam bidang ini.
“Sehubungan itu, kami berjaya mengumpulkan AS$1,200 (RM4,963) untuk membiayai perbelanjaan kembara Yulissa dan selebihnya disumbangkan kepada persatuan-persatuan sindrom Down,” tuturnya.
Jelasnya, para pelajar mengumpul dana itu bagi membantu merealisasikan impian terpendam Yulissa untuk mengembara ke seluruh dunia dan bertemu orang-orang baharu yang berkongsi kecintaan terhadap zumba.
Berbalik mengenai kunjungannya ke Newton baru-baru ini untuk memimpin zumba bersama Maritza, kunjungan tersebut begitu istimewa kerana selain memimpin tarian, Yulissa juga menjadi tetamu istimewa yang dinanti-nantikan para peserta untuk bersama-sama menyusun langkah menari zumba.
“Dia memberi inspirasi kepada ramai orang kerana ada sesetengah individu yang dilahirkan dengan sindrom Down merasakan mereka tidak boleh berjaya mencapai impian disebabkan kekurangan diri itu.
“Dia mengajar kita semua bahawa anda boleh melakukan apa sahaja yang diingini walaupun terdapat pelbagai halangan,” jelas Maritza.
Hubungan Maritza dan Yulissa juga terjalin erat sejak tiga tahun lalu kerana adanya ‘persamaan’ antara mereka.
“Kami berdua berasal dari Peru, jadi itu adalah perkara pertama yang menarik saya untuk mengenalinya.
“Saya juga mempunyai anak saudara yang dilahirkan dengan sindrom Down,” tuturnya.
Cerita Maritza, ketika anak saudaranya dilahirkan, doktor menjangkakan bayi itu akan hidup dalam masa dua tahun tetapi ajaibnya dia kini berusia 32 tahun dan sangat pintar seperti Yulissa.
Seorang guru kemahiran hidup, Adam Ahonen pula berkata, pencapaian Yulissa memberi inspirasi kepada pelajar autistik dan sindrom Down.
“Kejayaan Yulissa membuka banyak pintu yang lain dan menyedarkan mereka di luar sana agar bersemangat mencapai impian masing-masing.
“Dia juga mengajar bahawa penghidap sindrom Down atau autisme boleh melakar sejarah menjadi ‘orang pertama’ yang melakukan suatu yang selama ini dianggap mustahil bagi golongan itu,” katanya.
Mengenai kecintaan terhadap zumba, akui Yulissa, dia sangat suka menari dan teruja menjadi jurulatih tarian tersebut.
“Saya sangat seronok mengatur langkah tarian zumba mengikut rentak muzik latin yang amat menggembirakan hati dan dapat berjumpa ramai orang.
“Sudah menjadi kemestian, sebagai seorang jurulatih bertauliah, saya akan menghadiri konvensyen zumba di Florida setiap tahun. Di situ, saya berjumpa ramai kawan dan mencipta banyak kenangan,” ulasnya.
Yulissa juga akan sentiasa berhubung dengan sahabat-sahabatnya menerusi media sosial seperti Facebook.
Terangnya lagi, dia menggemari zumba kerana dapat membuat tarian sendiri dengan menggunakan lagu-lagu kegemaran.
Di sepanjang pengembaraannya dalam memenuhi undangan sebagai guru tarian zumba, Yulissa setia ditemani ibu tercinta, Marlene.
“Dia bekerja keras untuk menjadi jurulatih tarian zumba dan ini adalah hasil daripada usahanya.
“Anak saya banyak berlatih untuk mengingati setiap rentak dan langkah tarian itu agar tidak membuat kesilapan,” kata Marlene.
Tambah ibunya, Yulissa mengingatkan orang untuk berfikiran terbuka dengan memberitahu diri bahawa ‘kita boleh melakukannya’.
“Pemikiran seperti itu adalah bahagian yang paling penting untuk meneruskan langkah dalam mengejar cita-cita.
“Menari dengan semua orang membuatkan dia berasa sebahagian daripada komuniti dan tidak bersendirian,” tuturnya.
Marlene turut memberi kredit kepada budaya Peru yang mana hal itu membantu anaknya mengingati setiap langkah tarian dengan mudah.
“Ketika di usia kanak-kanak, saya sudah nampak dia mempunyai kelebihan untuk menghafal langkah tarian. Budaya kami suka muzik dan apabila Yulissa diperkenalkan dengan tarian zumba, dia sudah memiliki kemampuan menghafal setiap langkah itu dengan sangat mudah,” jelasnya.
Marlene berharap kejayaan anak perempuannya itu memberi inspirasi kepada orang lain dan membuktikan kepada dunia bahawa penghidap sindrown Down juga mampu untuk mengejar cita-cita mereka.