MANCHESTER – Pembelian ramai pemain bertaraf bintang seperti Cristiano Ronaldo, Jadon Sancho dan Raphael Varane membuktikan kesungguhan Manchester United untuk memburu kejuaraan Eropah terutama Liga Juara-Juara musim ini.
Kehadiran Ronaldo selaku pemenang lima Ballon d’Or selain Varane dengan reputasi pemenang empat gelaran Liga Juara-Juara bersama Real Madrid dan Sancho yang dibeli menerusi harga £73 juta (RM417.77 juta) sememangnya mengukuhkan reputasi United.
Ia terbukti apabila mereka berjaya membantu United menerajui carta Liga Perdana Inggeris (EPL) terutama Ronaldo dengan dua gol menewaskan Newcastle United 4-1 di Stadium Old Trafford pada Sabtu lalu.
Justeru, aksi pembukaan Liga Juara-Juara menentang Young Boys di Stade de Suisse awal pagi esok menjadi ujian pertama di sebalik kemampuan The Red Devils untuk mencabar di pentas Eropah.
Pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer tidak bercadang untuk merehatkan Ronaldo, sebaliknya bersedia menurunkan kesebelasan terbaiknya termasuk Bruno Fernandes, Mason Greenwood dan Jesse Lingard menentang jaguh Switzerland itu.
“Sudah tentu tidak (merehatkan Ronaldo). Kita semua tahu Ronaldo adalah seorang penjaring gol dan dia tahu bagaimana untuk menghasilkan jaringan buat pasukan seperti dilakukannya hari ini (Sabtu lalu).
“Sekarang saya ada pasukan yang mampu menghasilkan gol dalam apa jua keadaan. Cuma, saya perlu mencari jalan untuk memberikan keseimbangan pasukan pada musim ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ronaldo mengakui, United kini semakin matang dan berada pada landasan tepat untuk memenangi sesuatu musim ini.
“Kami memiliki pasukan muda yang hebat dengan jurulatih berkaliber tetapi kami masih kekurangan keyakinan. Saya percaya kehadiran saya mampu membantu United mengatasi masalah ini,” jelasnya. – AGENSI