fbpx

Tony Eusoff takut jadi muflis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TONY EUSOFF

SELEPAS dua tahun, industri seni dan hiburan tanah air antara sektor paling terkesan disebabkan pandemik Covid-19. Baik cabang nyanyian atau lakonan, golongan karyawan yang bergantung rezeki terhadap bidang seni terpaksa mencari jalan demi kelangsungan hidup.

Ada yang tidak pernah berniaga, terpaksa menebalkan muka menjaja di tepi jalan. Ada yang dahulunya hidup dalam limpahan glamor, terpaksa memperlahankan ‘kemewahan’ dengan bertemu jalan damai barangkali mencari reda Ilahi.

TONY percaya syarikat produksi tempatan sangat mengutamakan pematuhan SOP dalam menjayakan sesuatu drama mahupun filem.

‘Mungkin saya jatuh muflis’

Buat seorang anak seni bernama Tony Eusoff atau nama lengkapnya, Anthony Joseph anak Hermas Rajiman, dia juga tidak terkecuali berdepan perkara sama.

“Saya rindu nak pakai cecair penanggal solekan. Bayangkanlah hampir dua tahun tak jalani penggambaran disebabkan Covid-19, memang rindu nak bebas ke set lokasi dan berkarya.

“Bukan rindu nak bersolek macam wanita (tertawa). Rindu nak hidup macam dahulu walaupun kita semua pun tak tahu sampai bila akan hidup begini.

“Biarpun sekarang dah ada kelonggaran untuk penggiat seni dan pekerja industri kreatif, keadaan dah tak sama macam dulu tapi kita semua perlu akur dengan semua ini.

“Saya percaya, akan ada sinar di hujung terowong suatu hari nanti bukan untuk orang macam saya tapi semua orang lain tak kira industri,” kata Tony ketika dihubungi HibGlam baru-baru ini.

Tidak menafikan menerima tempias dari segi kewangan, kata anak seni yang cukup terkenal menerusi filem Sepi itu, kalau pandemik Covid-19 terus menjalar, dia mungkin akan jatuh muflis.

“Kalau berlaku lagi kekangan yang membantutkan aktiviti seni, saya sendiri tak tahu apa nasib saya. Mungkin saya jatuh muflis dan akan tukar kerjaya macam Nam Ron cakap.

“Seni lakonan adalah sumber pendapatan saya. Kalau tak dibenarkan bekerja, mana lagi saya nak korek duit. Duit simpanan yang ada pun dah digunakan untuk waktu-waktu terdesak sebelum ini,” katanya lagi.

TONY berkata, kedudukan kewangannya agak terganggu disebabkan pandemik Covid-19 yang sudah berlanjutan hampir dua tahun.

Rasa hilang fungsi

Melanjutkan bicara, Tony yang merupakan anak kelahiran Kuching, Sarawak memberitahu, disebabkan pandemik Covid-19, dia merasakan dirinya tiada fungsi dalam kalangan masyarakat.

Masakan tidak, duduk terperuk di rumah tanpa melakukan pekerjaan yang sudah menjadi kelaziman dirinya sebelum ini. Tony percaya, bukan hanya dirinya seorang berdepan masalah kemurungan bahkan anak seni lain juga.

“Buat pertama kali dalam hidup, saya rasa seperti tiada fungsi dalam masyarakat. Sudah tentu, sebab tidak dapat bertemu orang seperti kebiasaan. Tidak dapat bekerja macam biasa memberi tekanan terhadap kesihatan mental kita.

“Bagaimanapun, saya bertemu semula dengan hobi lama pada musim pandemik ini iaitu melukis.

“Selama 20 tahun saya tak melukis! Itu yang positifnya dan dapatlah saya asah semula bakat yang sudah lama tenggelam,” kata Tony yang merupakan graduan dalam bidang seni bina.

Dalam pada itu, Tony, 44, turut mendedahkan, disebabkan ‘dipenjara’ dek wabak berbahaya tersebut, fizikalnya semakin membulat. Tuturnya, nak bersenam pun menjadi satu masalah.

“Badan saya makin bulat! Waktu mula-mula, bersemangatlah nak ‘home work out’ (bersenam di rumah) dan sebagainya namun lama-kelamaan, otak saya pun buntu. Saya percaya orang lain berdepan perkara sama.

“Tapi sekarang, perlahan-lahan kita kembali hidup seperti biasa walaupun pelitup muka wajib dipakai setiap masa kalau berada di luar rumah. Jadi, sekarang ini saya aktif bersenam semula. Nanti naik set berlakon, tiadalah tembam sangat,” ujarnya secara berseloroh.

SUDAH dua tahun lamanya Tony tidak menjenguk keluarga tersayang di Kuching, Sarawak disebabkan wabak Covid-19. Dia bagaimanapun percaya ada hikmah di sebalik semua ini.

Sukarelawan Covid-19

Dalam pada itu, Tony memaklumkan, disebabkan tidak mahu terlalu lama terperap di rumah, dia mengambil kesempatan menjadi sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (PPV KLCC) sejak Ogos lalu.

Katanya, kalau tidak buat perkara demikian, dia mungkin akan terus berasa sunyi dan mengalami kemurungan sekali gus memberi impak negatif terhadap kehidupannya.

“Dapatlah keluar rumah jumpa orang sebab jadi sukarelawan di PPV KLCC. Dapatlah hirup udara segar dan rasa seronoknya bertemu orang.

“Tak kisahlah orang kata saya artis, tak perlu jadi sukarelawan. Saya yakin setiap orang yang hidup di bumi bertuah (Malaysia), mempunyai tanggungjawab masing-masing.

“Kalau kita tidak berkorban dan jalankan tanggungjawab sebagai rakyat, siapa lagi yang nak diharapkan. Ada sesetengah orang, mereka sibuk mahukan kerajaan yang bagus serba-serbi, tapi langsung tak jalankan peranan sebagai rakyat yang bagus,” ujarnya.

Sebelum menutup perbualan, Tony memaklumkan sudah dua tahun dia tidak pulang ke Sarawak untuk bertemu dengan keluarga tercinta. Sudah dua kali juga sambutan hari Natal diraikannya secara sendirian di ibu kota.

“Nak buat macam mana, kita tiada pilihan. Semua orang mengalami nasib yang sama. Semua orang rindukan keluarga mereka.

“Saya berharap kita dapat bertemu keluarga masing-masing suatu hari nanti. Sudah-sudahlah Covid-19 menjadi pemisah untuk kita semua menjalin kasih sayang dan bersatu. Tapi untuk semua ini berakhir, kita perlu berkorban.

“Dapatkan vaksin, jaga prosedur operasi standard (SOP). Kesihatan mental dan fizikal kita semua juga sama penting,” katanya menggulung bicara.

MUNCUL dengan siri Keluarga Baha Don musim baharu, Tony berharap industri kreatif tanah air akan terus bernafas dengan diberikan kelonggaran untuk beroperasi.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI