MELAKA – Tiga pasangan kekasih dicekup polis ketika khayal dan leka berparti di sebuah penginapan mewah tiga tingkat di Taman Kota Shahbandar, Tengkera, di sini, semalam.
Dalam serbuan pada pukul 12 tengah hari itu, kesemua yang ditahan berusia 21 hingga 26 tahun.
Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, serbuan dilakukan pasukan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.
Katanya, pihaknya menahan tiga lelaki dan tiga wanita dipercayai pasangan kekasih sedang berseronok menganjurkan parti persendirian (private party).
“Kesemua mereka dipercayai mendaftar masuk di premis tersebut untuk tiga hari dua malam sejak Sabtu lalu dengan bayaran RM1,200 semata-mata untuk mengadakan private party.
“Dalam serbuan itu kita turut merampas lampu disko, komputer riba dan sebuah televisyen,” katanya dalam satu kenyataan akhbar dikeluarkan hari ini.
Tambahnya, ujian saringan air kencing ke atas kesemua suspek mendapati lima daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine.
“Kesemua yang ditahan dikenakan kompaun di bawah perkara 16 Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 atas kesalahan berkumpul dan menjalankan private party.
“Mereka turut disiasat mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat hiburan 2001 serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Katanya, mengikut rekod sejak Januari sehingga Ogos lalu, IPD Melaka Tengah telah membuat 19 serbuan di lokasi hiburan sekitar daerah ini.- K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929