KLUANG – Sepasang suami isteri yang juga peniaga sate tinggal sehelai sepinggang selepas rumah sewa didiami musnah dijilat api dalam kejadian kebakaran di Kampung Baru, Ulu Benut Simpang Renggam di sini malam semalam.
Ketika kejadian pada pukul 9.30 malam itu, mangsa, Siti Norhidayah Mohd. Nor, 35, dan suaminya, Mohd. Ridzuan Sahamad, 41, keluar berniaga.
Siti Norhidayah berkata, mereka bersyukur kejadian itu tidak melibatkan nyawa dan hanya melibatkan kerugian harga benda.
“Bila keluar berniaga, anak saya berusia tiga dan 12 tahun akan dihantar ke rumah emak di Kampung Permatang Duku Benut, kadang-kadang bawa ke tempat berniaga.
“Saya dapat tahu kejadian daripada jiran yang telefon dan saya dan suami segera bergegas pulang.
“Sebaik tiba rumah memang sudah musnah hampir keseluruhannya dan kami tidak boleh memasuki lokasi kebakaran kerana bomba bimbangkan keselamatan kami,” katanya ketika ditemui di sini.
Kejadian itu menyebabkan kerugian lebih RM10,000 apabila peralatan elektrik dan perkakasan rumah termasuk set sofa dan televisyen yang baru dibeli hangus dijilat api.
Dalam pada itu, Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Abd. Rahim Razali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada 9.44 malam sebelum sebuah jentera LFRT, FRT, dan tangki air dihantar ke lokasi kebakaran.
“Seramai 17 anggota dihantar ke tempat kejadian dan setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) didapati benar berlaku kebakaran sebuah rumah jenis kekal berkeluasan 180 kaki persegi terbakar lebih 80 peratus.
“Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih lagi dalam siasatan dan operasi ditamatkan pada pukul 11.25 malam berikutnya,” katanya.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929