LEEDS – Liverpool meneruskan aksi cemerlang dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selepas menewaskan Leeds United 3-0 pada perlawanan di Stadium Elland Road malam kelmarin.
Tiga gol daripada Mohamed Salah, Fabinho serta Sadio Mane melonjakkan The Reds ke tempat ketiga, berkongsi 10 mata dengan dua pasukan teratas, Manchester United dan Chelsea.
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menghamburkan pujian kepada Salah selepas penyerang prolifik skuad antarabangsa Mesir itu muncul pemain ke-30 menjaringkan 100 gol EPL sejak menyertai pasukan tersebut pada 2017.
“Mo (Salah) memiliki rekod jaringan yang cukup ‘gila’ bersama Liverpool. Ketajamannya apabila berada di depan gawang gol tidak boleh disangkal lagi menerusi rekod yang diciptanya bersama pasukan ini.
“Sejak menyertai Liverpool, dia sentiasa dahagakan jaringan. Walaupun sudah mengumpul 100 gol EPL tetapi dia masih belum puas dan reaksinya dapat dilihat hari ini kerana tidak dapat menjaringkan lebih daripada satu gol,” kata pengendali dari Jerman itu.
Salah muncul pemain kelima terpantas menjaringkan 100 gol dalam sejarah EPL dengan 162 penampilan di belakang Alan Shearer, Harry Kane, Sergio Aguero dan Thierry Henry.
Meskipun memiliki rekod cemerlang bersama Liverpool, namun masa depan Salah di Anfield terus menjadi tanda tanya kerana masih belum membuat keputusan untuk memperbaharui kontraknya yang akan tamat pada 2023.
Difahamkan, pemain berusia 29 tahun itu sedia melanjutkan kontraknya jika Liverpool setuju menaikkan gajinya kepada £500,000 (RM2.86 juta) seminggu iaitu dua kali ganda lebih tinggi daripada gaji tonggak pertahanan, Virgil van Dijk. – AGENSI