SUNGAI BULOH – Seorang remaja perempuan maut manakala adiknya cedera selepas rumah yang didiami mereka terbabit dalam satu kebakaran di Kampung Baru Kundang dekat sini sebentar tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, mangsa yang maut dikenali sebagai B.Thiviya berusia 19 tahun manakala adik lelakinya B.Vishnu berusia 3 tahun.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 11.24 pagi.
“Seramai 16 pegawai dan anggota bersama beberapa buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Arang serta BBP Sungai Buloh telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya dilokasi, anggota mendapati rumah teres berkenaan sedang marak dijilat api dan terbakar hampir 90 peratus,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kejadian tersebut melibatkan dua beradik dimana seorang remaja perempuan telah melecur hampir 80 peratus dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Sementara adik lelakinya yang cedera telah dikeluarkan oleh orang awam dari rumah tersebut dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan.
“Siasatan awal mendapati, ibu bapa mangsa tiada di rumah ketika kejadian kerana sedang bekerja dan punca kejadian masih dalam siasatan,” jelasnya. – K! ONLINE.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929