fbpx

Permohonan Siti Bainun didengar 28 Oktober ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Bainun (tengah) ketika hadir di Mahkamah Majistret Kanak-kanak baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret Kanak-Kanak di sini hari ini menetapkan 28 Oktober ini untuk mendengar permohonan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali untuk mendapatkan hak penjagaan penuh lima anak angkatnya daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Perkara itu dimaklumkan peguam Nur A’minahtul Mardiah Md. Nor yang mewakili Siti Bainun di luar mahkamah selepas prosiding sebutan semula di hadapan Majistret Norfarahain Roslan.

Menurut peguam itu, pada tarikh tersebut, mahkamah boleh menentukan pihak mana yang layak untuk penjagaan penuh lima kanak-kanak tersebut.

“Pada tarikh itu (28 Oktober), mahkamah boleh menentukan siapa yang layak untuk menjaga lima kanak-kanak itu,” katanya.

Peguam itu berkata, mahkamah membenarkan permohonan Siti Bainun untuk bertemu salah seorang anak angkatnya secara fizikal manakala permohonan interim bagi empat lagi kanak-kanak akan dipohon dalam masa terdekat ini.

Sementara itu, di mahkamah sama, tiga daripada lima ibu keluarga kanak-kanak tersebut telah membuat permohonan untuk membatalkan afidavit bagi menyokong permohonan hak penjagaan sementara yang difailkan sebelum ini.

Peguam Muhammad Hafiz Hood dan Megat Syazlee Mokhtarom yang mewakili keluarga tiga kanak-kanak itu berkata, pendengaran bagi kes pembatalan afidavit yang telah difailkan itu akan didengar pada 2 November ini.

Siti Bainun ,29, dan lima lagi ibu kandung kepada anak angkatnya itu memfailkan notis permohonan hak penjagaan sementara melalui Tetuan Chambers of Aminatul Mardiah pada 2 Ogos lalu di Mahkamah Kanak-Kanak di sini dengan menamakan JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai responden.

Permohonan itu adalah bagi pembatalan perintah interim yang diberikan kepada JKM tanpa mematuhi keperluan di bawah Seksyen 30 (10) Akta Kanak-Kanak 2001 yang mana penjaga yang sah tidak diberikan peluang hadir dan berhujah semasa perintah interim diberikan.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh sebelum ini, antara permohonan itu ialah perintah pembatalan jagaan sementara lima anak angkat Siti Bainun yang sekarang diberikan kepada dua buah rumah kebajikan.

Selain itu, permohonan itu turut menyatakan ia adalah permintaan daripada keluarga kandung lima kanak-kanak itu yang mana mereka mahu jagaan diberikan kepada pihak pemohon. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI