fbpx

Pandu lawan arus, pemandu dipenjara 3 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemandu kereta Myvi yang hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen dalam tempoh lima tahun selepas didapati memandu secara lawan arus.- Foto IHSAN JSPT KL

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang memandu kereta secara melawan arus di Lebuh Raya Maju Expressway (MEX) pada 4 September lalu dikenakan hukuman penjara tiga hari dan denda RM8,000.

Hukuman tersebut dikenakan selepas suspek mengaku bersalah di Mahkamah Trafik, Jalan Duta di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, pemandu kereta yang bekerja sebagai ejen insuran tersebut telah dituduh pada pagi ini selepas memandu dari arah Tol MEX menghala ke pusat bandar secara melawan arus.

“Hasil pertuduhan, lelaki berusia 24 tahun itu mengaku bersalah dan dikenakan hukuman penjara selama tiga hari dan denda RM8,000. Sekiranya gagal untuk membayar denda akan dipenjara selama 6 bulan.

“Hukuman ke atas kesalahan yang telah dilakukan telah diendorskan ke lesen pemandu dan pemandu telah hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen dalam tempoh lima tahun dari tarikh sabitan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kosmo! Online pada 4 September lalu melaporkan, polis sedang mengesan pemandu Perodua Myvi berwarna kelabu yang memandu melawan arus di Lebuh Raya MEX menghala ke Putrajaya.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A. Anbalagan berkata, pihaknya menerima laporan polis dibuat anggota Kaunter Pertanyaan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang pukul 1.16 tengah hari berkaitan rakaman video memaparkan sebuah kereta yang didapati memandu melawan arus.

“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati, rakaman video berdurasi 19 saat yang tular itu berlaku sekitar pukul 11 pagi di Lebuh Raya MEX dimana kereta berkenaan melawan arus menghala ke Kuala Lumpur.

“Hasil semakan televisyen litar tertutup (CCTV) di Plaza Tol MEX Seri Kembangan mendapati kereta itu dipandu berlawan arus bermula dari kawasan Rehat dan Rawat Seri Kembangan,” katanya. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI