KUCHING – Mayat seorang pemandu jengkaut yang tertimbus selepas dihempap batu sebesar anggaran 20 meter di tapak kuari Jalan Tanjung Durian, Bau di sini semalam akhirnya dapat dikeluarkan selepas 21 jam operasi dijalankan.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau dan juga komander operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Tawang Lingem, mayat mangsa yang dikenal pasti sebagai Anthony Kanna, 48, dikeluarkan pada pukul 12.23 tengah hari hari ini.
“Jentera jengkaut yang digunakan dalam operasi itu menjumpai sebahagian tempat duduk jengkaut mangsa yang tertimbus.
“Anggota penyelamat kemudiannya diarah menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan road traffic accident,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mayat lelaki itu kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Difahamkan, dalam kejadian itu, mangsa sedang melakukan kerja-kerja meratakan tapak batu di kuari tersebut pada pukul 3.15 petang semalam.
Satu bongkahan batu besar kemudian terjatuh dan menghempap jengkaut yang dikendali mangsa.
Punca kejadian dipercayai akibat aktiviti pengeboman bagi memecahkan batuan di kawasan kuari pada sebelah pagi yang menyebabkan struktur batu tidak stabil sebelum runtuh.
Batu yang menghempap mangsa dianggarkan sebesar 20 meter.
Selain bomba, operasi tersebut turut disertai oleh polis, Jabatan Mineral Dan Geosains Sarawak, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Jabatan Tanah dan Ukur Sarawak dan Syarikat Hollystone Quarry. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929