fbpx

Lonjakan FDI signal keyakinan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Pelaburan langsung asing (FDI) negara melonjak sebanyak 223.1 peratus pada separuh tahun pertama 2021 berbanding tempoh sama tahun lalu, mencerminkan keyakinan pelabur asing kepada ekosistem perniagaan dan iklim ekonomi negara yang stabil serta kondusif.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, FDI memacu prestasi kukuh sektor pembuatan de­ngan merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM58.2 bilion, manakala sumber domestik menyumbang RM8.7 bilion.

Pelaburan domestik pula mendahului dalam sektor per­khidmatan dan primer dengan jumlah RM45 bilion, mewakili 41.9 peratus daripada keseluruhan pelaburan diluluskan.

“Dari segi jumlah keseluruhan pelaburan diluluskan, Malaysia merekodkan FDI dan pelaburan langsung domestik (DDI) berjumlah RM107.5 bilion dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan primer, pertumbuhan 69.8 peratus berbanding tahun lalu.

“Pelaburan melibatkan 2,110 projek itu dijangka mencipta 44,994 peluang pekerjaan di negara ini,” katanya dalam satu ke­nyataan semalam.

Menurut Azmin, prestasi kukuh itu memperlihatkan keberkesanan strategi Malaysia dalam memposisikan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan pilihan dan hab rantaian pembekalan di rantau ASEAN, terutamanya bagi operasi pembuatan.

Tambahnya, selari dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), Malaysia akan terus menarik projek bermodal tinggi, menyokong agenda pembangunan negara serta konsisten dengan matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“Pada masa sama, terdapat penekanan untuk mencipta pekerjaan untuk rakyat.

“Dalam hal ini, 367 projek pembuatan yang diluluskan dalam enam bulan pertama tahun ini akan mencipta 32,220 peluang pekerjaan dalam pelbagai peranan, manakala tenaga kerja yang diperlukan untuk pelaburan yang diluluskan termasuk 1,367 pengurus dan 4,031 golongan profesional seperti jurutera,” katanya.

Antara projek utama yang diluluskan dalam separuh tahun pertama 2021 termasuk kilang pembuatan foil tembaga baharu oleh SK Nexilis, cadangan projek menghasilkan produk teknologi solar oleh Risen Energy dan cadangan pelaburan oleh OSIM untuk mengembangkan kapasiti kilang polysilicon gred solar.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI