YAN – Seorang bekas pemandu jengkaut yang kudung kedua belah kaki dari Kampung Pantai Murni di sini bersyukur apabila menerima sumbangan kerusi roda baharu bagi menggantikan kerusi roda lamanya yang telah rosak.
Abdul Manaf Mat Akhir, 50, berkata, dia terkejut apabila Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyumbangkan kerusi roda tersebut kepadanya meskipun bekas majikan tidak pernah mencarum buatnya.
“Saya membuat rayuan kepada orang ramai kerana tahu saya tidak berkelayakan untuk mendapat apa-apa faedah melalui Perkeso berikutan bekas majikan tidak pernah mencarum sepanjang saya bekerja dengannya selama kira-kira tiga tahun.
“Hasil sumbangan kerusi roda baharu ini membolehkan saya mengurus diri dengan lebih baik termasuk tidak perlu lagi merangkak ke bilik air untuk mandi, membasuh pakaian dan memasak,” katanya.
Dia ditemui selepas menerima sumbangan kerusi roda baharu daripada Pengarah Perkeso Kedah, Mohamad Haron Othman di rumahnya di sini semalam.
Menurut Mohamad Haron, pihaknya terpanggil untuk membantu Abdul Manaf menerusi bantuan ilat iaitu penyediaan kelengkapan atas dasar kemanusiaan.
“Semakan rekod mendapati bekas syarikat tempat Abdul Manaf bekerja tidak pernah mencarum untuk melayakkan dia menerima beberapa faedah dikategorikan di bawah Skim Pencen Ilat.
“Bagaimanapun pihak kita prihatin untuk membantunya menyediakan sebuah kerusi roda baharu bagi membolehkan dia lebih selesa untuk meneruskan hidup,” ujarnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929