fbpx

Langkawi dijangka terima 2,000 pelancong sehari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Beberapa keluarga mengambil kesempatan untuk beriadah di Pantai Chenang, Langkawi. - Foto: NUR AMALINA AZMAN

LANGKAWI – Pulau Langkawi dijangka menerima sehingga 2,000 pelancong sehari mulai hari pertama pembukaan sektor pelancongan di pulau peranginan itu, Khamis ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, hari pertama gelembung hijau pelancongan dijangka menerima kemasukan seramai 1,200 pelancong.

Katanya, pelancong pada hari tersebut memasuki Langkawi menerusi tiga perjalanan feri dari Terminal Feri Kuala Perlis serta lima penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Tempahan bagi perkhidmatan feri didapati masih meningkat secara perlahan dan kita dapati orang ramai mengambil sikap tunggu dan lihat.

“Walau bagaimanapun, secara purata jangkaan kedatangan pelancong secara harian di Langkawi adalah antara 1,200 hingga 2,000 orang,” katanya pada sidang akhbar di bangunan LADA di sini hari ini.

Kata beliau, jumlah kemasukan pelancong itu adalah pada kadar sederhana dan dijangka tidak akan berlaku kesesakan di pulau tersebut.

“Kita sendiri tidak mahu terlalu ghairah dalam menerima pelancong dalam angka yang tinggi sehingga di luar kawalan.

“Apa yang penting adalah kita dapat mengawal kehadiran pengunjung dengan baik serta tidak berlaku kesesakan termasuk di terminal feri dan lokasi pelancongan,” ujarnya.

Menurut Nasaruddin, pihaknya menjangkakan Langkawi menerima kunjungan kira-kira 30,000 pelancong pada bulan ini dan menyasarkan seramai 400,000 pelancong sehingga hujung tahun ini. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI