Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
KEPAYAHAN dilalui Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam pelbagai aspek berbanding pasukan bertaraf mewah di negara ini menjadikan kejayaan mengekalkan kedudukan naib juara Liga Super untuk tempoh dua tahun berturut-turut lebih manis.
Ketua jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak berkata, berbanding pasukan lain yang memiliki kelab feeder seperti Selangor FC, Terengganu FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT), pasukan bimbingannya hanya memiliki 25 pemain pada awal musim.
“Selepas itu kita lihat bagaimana satu demi satu masalah menimpa termasuk kecederaan. Syazwan Tajuddin contohnya, terpaksa diketepikan kerana kecederaan panjang manakala Rozaimi Abdul Rahman pula berdepan masalah keluarga hingga tidak lagi bersama pasukan.
“Kemudian, ada pula pemain kami dijangkiti Covid-19 hingga menyebabkan perlawanan membabitkan pasukan ini ditunda. Bermula dari situ, jadual kami cukup padat hingga perlu bermain hingga sembilan perlawanan dalam tempoh sebulan.
“Ketika liga hampir berakhir, kami kehilangan pula dua pemain import iaitu Kpah Sherman dan Rabih Ataya yang mempunyai tugasan bersama skuad kebangsaan masing-masing. Jadi boleh saya katakan, pasukan ini hanya memiliki 21 pemain termasuk tiga penjaga gol untuk melalui aksi padat dalam perjalanan untuk meraih slot ke Piala Asia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas pasukannya membenam Melaka United 4-1 di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada malam kelmarin.
Dua daripada empat gol KDA FC dihasilkan penyerang import Ivory Coast, Kipre Tchetche pada minit ke-23 dan 29 sebelum kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar bersama pemain gantian, Mohd. Fayadh Zulkifli menambah jaringan pada minit ke-66 dan 68.
Gol tunggal Melaka United pula dihasilkan penyerang import dari Brazil, Adriano Aparecido Narcizo pada minit ke-59.