KISAH budak lelaki kenit dikenali sebagai Awang Kenit merupakan antara cerita sastera Melayu yang cukup popular dalam masyarakat kita kerana bukan sahaja menghiburkan, tetapi menyampaikan mesej-mesej positif.
Walaupun dirinya kecil dan tidak membesar kerana disumpah, tetapi Awang Kenit tidak menjadikannya sebagai halangan untuk bergelar wira serta berbakti kepada rakyat Indera Sakti.
Sehubungan itu, semangat Awang Kenit dan nilai positif yang diketengahkan dalam cerita tersebut membuatkan Rabiatul Adawiyah Mohd. Radzi, 29, mengangkat kisah tersebut di dalam koleksi Fantasist Adventura.
Rabiatul Adawiyah menjadikan siri animasi The Amazing Awang Khenit yang memaparkan aksi, fantasi dan komedi sebagai inspirasinya dalam menghasilkan rekaan wearable art atau karya yang boleh dipakai.
Menurut pereka itu, dia menghasilkan rekaan tersebut bagi memenuhi tugasan projek tahun akhir sebagai graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Fesyen, Fakulti Seni Reka dan Seni Lukis, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor.
“Kami diberi satu tajuk untuk dipersembahkan dalam rekaan fesyen berdasarkan tema sastera Melayu yang mana di dalamnya mempunyai banyak kategori dan saya memilih kategori komik Melayu iaitu The Amazing Awang Khenit.
“Saya tertarik dengan cerita ini kerana penuh dengan fantasi, imaginasi, pengembaraan, kelucuan, dramatik, karakter raksasa, penuh warna-warni dan jalan cerita yang tidak terjangka,” katanya yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak itu.
Mengulas mengenai koleksi Fantasist Adventura itu, Rabiatul Adawiyah memberitahu, dia mengetengahkan tiga gaya fesyen wanita jalanan.
Rekaan tersebut berpegang kepada tiga kunci utama iaitu siluet bersaiz besar, motif yang menggabungkan dramatik karakter raksasa di dalam cerita itu dan penyatuan keseluruhan elemen rekaan itu.
“Gaya yang pertama mempunyai empat helai iaitu jaket gelembung berlenggan pu y, mini skirt, legging dan top.
“Rekaan kedua pula, menampilkan hoodies bersama jaket bersaiz besar dan skirt lapisan lipatan, manakala koleksi ketiga terdiri daripada dres jaket pelbagai gaya dan seluar skinny,” tutur anak sulung daripada empat beradik itu.
Tambahnya, sifat Awang Kenit yang gagah, kuat dan bijaksana ditampilkan di dalam potongan siluet tersebut.
Walaupun koleksi itu tergolong dalam kategori wearable art, tetapi ada beberapa helai yang boleh dijadikan sebagai persalinan harian seperti skirt, legging dan seluar.
Rabiatual Adawiyah mengambil masa sekitar empat hingga lima bulan untuk menyiapkan keseluruhan koleksi tersebut yang mana menggunakan fabrik seperti nylon ta eta, sport mesh dan eyelet mikrofiber.
Untuk menjadikan baju-baju itu kembang dan bersaiz besar, dia turut memasukkan fabrik nilon dan fiber ke dalamnya.
Koleksi penuh warna-warni itu direka dengan gabungan corak raksasa di dalam animasi The Amazing Awang Khenit yang mana mengambil masa seminggu untuk menyiapkan keseluruhan motif itu.
“Rekaan corak itu saya hasilkan dalam bentuk seni doodle yang pada awalnya dilukis secara manual, kemudian dipindahkan ke dalam perisian lukisan digital,” jelasnya.