PETALING JAYA – Ibu bapa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tidak perlu bimbang tentang keadaan anak mereka yang akan pulang ke kampus untuk kembali menduduki pengajian.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Bahagian Pengurusan Risiko dan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (ROSH), serta Bahagian Keselamatan UPSI akan memantau pergerakan dan keselamatan mereka.
“Proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) akan dilaksanakan secara hibrid dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Manakala kursus atau program yang dijalankan secara dalam talian, pelajar boleh memilih untuk meneruskan PdP dari lokaliti masing-masing.
“Bagaimanapun pertemuan bersemuka antara mahasiswa dengan pensyarah atau sesama mahasiswa pastinya tidak seperti dahulu kerana dibatasi oleh SOP yang ketat bagi mengelakkan sebarang jangkitan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Terdahulu, Md. Amin berkata, UPSI akan sentiasa mematuhi dan mengikut arahan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), MKN serta Kementerian Kesihatan (KKM) dari masa ke semasa demi kesejahteraan warga kampus.
Menurut beliau, UPSI akan memantau pelaksanaan SOP Sektor Pendidikan Tinggi: Pengoperasian Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang menyaksikan keberadaan warga IPT yang lengkap divaksin bagi membentuk komuniti sosial yang selamat serta mewujudkan persekitaran Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara dalam kampus. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929