fbpx

Harga dedak naik 75 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Yunus Jamahri (tengah) meninjau pelaksanaan harga minimum kit ujian pantas antigen Covid-19 di pusat beli-belah Ipoh Parade.

IPOH – Kos makanan yang meningkat sehingga 75 peratus iaitu pada harga RM1,400 bagi setiap satu tan berbanding hanya sekitar RM800 sebelum ini antara punca kenaikan harga ayam.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata, kenaikan mendadak itu menjadi antara punca harga ternakan itu naik di pasaran.

“Siasatan telah dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkaitan isu ini dan telah pun mengenal pasti beberapa faktor.

“Pertamanya, terdapat peningkatan harga dedak yang daripada RM800 sesatu tan kepada RM1,400,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas tinjauan pelaksanaan harga minimum kit ujian pantas antigen Covid-19 di pusat membeli belah Ipoh Parade di sini hari ini.

Abdul Yunus berkata, faktor lain kenaikan harga ternakan itu turut melibatkan pihak ladang yang mengalami peningkatan dari segi kos operasi.

Katanya, kekurangan pekerja asing menyebabkan pihak ladang terpaksa mengambil pekerja tempatan dengan kadar upah yang lebih tinggi.

“Selain itu, peningkatan harga bekalan anak ayam juga dikenal pasti menjadi antara punca kenaikan harga ternakan itu di pasaran.

“Kenaikan harga anak ayam itu menyebabkan ada pengusaha yang mengurangkan pembelian dan menyebabkan bekalan ayam berkurangan di pasaran,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, KPDNHEP Perak telah melakukan pemeriksaan harga ayam di seluruh negeri dan mendapati terdapat segelintir peniaga menjual dengan harga yang tinggi.

Katanya, berdasarkan pemeriksaan, ada peniaga dikesan menjual sehingga RM11.50 bagi satu kilogram ayam manakala ada juga yang menjual pada harga serendah RM5.90 untuk satu kilogram.

“Pihak KPDNHEP sedang menyiasat perkara tersebut. Macam pasar raya, mereka ada kontrak ladang dengan penternak jadi mereka dapat harga lebih rendah dan stabil.

“Pada pandangan kita, perkara ini mungkin tidak akan berlarutan dalam jangka masa panjang dan pihak KPDNHEP memang sentiasa memantau dan mencari jalan untuk menstabilkan harga ayam,” katanya. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI