KANGAR – Gua Kelam 1 dan 2 ditutup untuk lawatan pengunjung dan aktiviti riadah bermula hari ini kerana arus sungai yang masih deras berikutan hujan lebat sejak kebelakangan ini.
Sementara Taman Eko-Rimba Bukit Ayer, Batu Pahat pula hanya dibuka untuk berkelah dan riadah sahaja manakala aktiviti mandi tidak dibenarkan.
Pengarah Jabatan Perhutanan negeri, Awang Shafie Awang Ahmadni berkata, hujan lebat di sebelah Wang Kelian menyebabkan paras air di kawasan Gua Kelam naik dan tidak selamat kepada pengunjung.
“Jadi, kita tutup dahulu aktiviti untuk masuk ke Gua Kelam kepada pengunjung bermula hari ini. Kami akan pantau keadaan paras air dan ia akan dibuka semula apabila air berada pada paras selamat.
“Di Taman Eko-Rimba Bukit Ayer pula, air sudah kembali jernih berbanding video yang tular di media sosial semalam yang mana hari ini ia sudah dibuka kepada pengunjung untuk berkelah tetapi mandi masih tidak dibenarkan,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, aktiviti mandi-manda di sungai di Bukit Ayer dan Gua Kelam sebenarnya masih tidak dibenarkan pada Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi menjaga keselamatan orang ramai serta mengelak kewujudan kluster baharu.
Pada semalam klip video air terjun di Taman Eko-Rimba Bukit Ayer yang mengalir deras akibat hujan lebat sepanjang hari tular di Facebook. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929