JEMPOL – Seorang ejen broker wanita dari Felda Gugusan Raja Alias, di sini berputih mata selepas wang miliknya berjumlah RM37,330 lesap akibat diperpedaya kenalan maya yang dikenali sejak Februari lalu.
Kejadian terbongkar selepas mangsa yang berusia 37 tahun datang ke Balai Polis Bahau di sini semalam untuk membuat semakan setelah diminta lagi untuk melakukan pembayaran oleh suspek.
Menurut Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook, mangsa berkenalan dengan individu bernama Ali Rahman pada 13 Februari lalu menerusi Linkedln.
“Mereka kemudian berhubung di aplikasi WhatsApp. Mangsa kerap berhubung dengan suspek bagi berkongsi mengenai pengalaman hidup serta isu berkaitan kejuruteraan kerana mereka di lapangan yang sama.
“Pada 14 April lalu, suspek beritahu mangsa dia menerima bayaran baki akhir bagi kerja kontrak berjumlah AS$850,000 dan menamakan mangsa sebagai penerima manafaat.
“Lelaki itu meminta mangsa untuk menghubungi ejen bagi menuntut baki bayaran kontrak tersebut,” katanya di sini hari ini.
Chang Hook memberitahu, mangsa kemudian dihubungi oleh ejen syarikat dan diminta untuk membuat pembayaran bagi kelancaran urusan tuntutan tersebut. Mangsa melakukan lapan transaksi ke dalam enam akaun berbeza berjumlah RM37,330.
“Semakan sistem CCIS mendapati akaun-akaun bank tersebut terdapat dalam rekod sistem tersebut sejak 10 Mei lalu bagi jenayah penipuan sama,” katanya.
Orang ramai dinasihatkan untuk membuat semakan di laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau muat turun aplikasi ‘Semak Mule CCID’ sebelum membuat sebarang transaksi bagi mengelak ditipu.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929