PELUMBA berbakat negara, Syarifuddin Azman mengakui sangat gembira selepas berjaya menyumbang mata berharga apabila menamatkan saingan di tempat ke-13 ketika melakukan debut bersama pasukan Moto3 Petronas Sprinta Racing pada Grand Prix (GP) Aragon kelmarin.
Syarifuddin atas mesra dipanggil Damok mempamerkan tunggangan terbaiknya apabila berjaya menempatkan diri bersaing dalam kelompok besar pada perlumbaan itu.
Meskipun bersaing dengan juara dunia, namun ia tidak mendatangkan masalah apabila pelumba berusia 19 tahun itu memperbaiki kedudukannya dari petak ke-21 ke kedudukan ke-13 keseluruhan.
Syarifuddin yang mengambil alih tempat John McPhee pada saingan Moto3 ketinggalan 9.654 saat (s) kepada pelumba Leopard Racing, Dennis Foggia yang menamatkan saingan dengan catatan 37 minit 53.710s.
Pelumba Red Bull KTM Tech 3, Deniz Oncu menamatkan saingan tempat kedua, manakala tempat ketiga menjadi milik rakan sepasukannya, Ayumu Sasaki.
“Saya sangat gembira dengan perlumbaan hari ini. Apa pun, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Petronas SRT dan juga Datuk Razlan Razali atas peluang yang diberikan.
“Saya sangat gembira kerana dapat raih mata pada saingan Moto3 ini. Saya akui ia perlumbaan sangat sukar tetapi saya cuba lakukan terbaik pada perlumbaan ini.
“Saya cuba ikuti rapat dengan pelumba lain dan lakukan terbaik setiap pusingan. Agak menakutkan ketika berdepan pelumba hebat pada kejuaraan dunia ini. Pada akhirnya, saya berjaya memintas mereka.
“Apa yang saya boleh katakan, saya belajar sesuatu daripada perlumbaan ini dan saya ingin ucapkan terima kasih kepada mekanik serta seluruh pasukan yang menyediakan jentera cukup baik minggu ini,” katanya.