fbpx

70 kali kampung dilanda bah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAMIN menunjukkan sungai kecil di Jalan Kempas, Kampung Seri Gambut, Pontian yang tidak mampu menampung aliran air apabila berlakunya hujan lebat.

PONTIAN – Dalam tempoh setahun, paling kurang dua kali kampung kami akan dilanda banjir.

Itu dilema yang terpaksa ditanggung enam keluarga yang tinggal di Kampung Seri Gambut di sini sejak 35 tahun lalu sehingga menyebabkan mereka kerugian ribuan ringgit.

Ramin Kassim, 69, berkata, dia dan isterinya, Marwiyah Jamin, 65, berhijrah dari Kampung Parit Selangor Baru ke Kampung Seri Gambut pada tahun 1986.

“Kami pindah sini sebab mahu cari penempatan baharu, tetapi hampir setiap tahun kampung ini akan dilanda banjir. Ikutkan, sudah 70 kali kejadian sama berulang sejak 35 tahun lalu.

“Depan rumah ada sungai kecil, apabila hujan lebat, air akan melimpah, sudah macam kawasan tadahan air hujan,” kata­nya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Sementara itu, Marwiyah berkata, kejadian banjir besar paling buruk berlaku pada tahun 2006 apabila rumah mereka ditenggelami air setinggi hampir dua meter sehingga memusnahkan semua peralatan elektrik dan perabot.

Jelasnya, kejadian itu me­­n­yebabkan lima buah keluarga yang lain mengalami kerugian mencecah ribuan ringgit termasuk terpaksa mengeluarkan belanja sehingga RM4,000 untuk membaik pulih rumah.

Katanya lagi, kesemua enam keluarga yang terlibat sudah membuat aduan kepada ketua kampung, namun tiada solusi terbaik untuk menyelesaikan masalah itu sehingga kini.

“Kami berharap ada pihak bertanggungjawab tampil menyelesaikan masalah yang dihadapi kami,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Pekan Nanas, Yeo Tung Siong berkata, masalah banjir di Kampung Seri Gambut telah dibangkitkan dalam persidangan Dewan Undangan Johor (DUN) Johor baru-baru ini.

Katanya, antara puncanya ialah masalah di Hulu Sungai Pontian Besar cetek disebabkan terdapat banyak pasir sebagaimana aduan yang dibuat oleh penduduk kampung.

Menurut beliau, disebabkan masalah itu, lebihan air yang banyak sewaktu hujan lebat telah melimpah ke rumah penduduk dan keadaan kini kerap berlaku pada setiap tahun.

“Cadangan saya supaya kerajaan melakukan kerja-kerja mengorek pasir yang terdapat di sungai tersebut sebagai tindakan jangka panjang supaya masalah banjir dapat diatasi,” ujarnya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI