KAPTEN pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC), Zaquan Adha Abdul Radzak menyifatkan kejayaan merampas carta Liga Premier sebagai bukti rakan sepasukan yang mampu bangkit selepas bergelut dengan prestasi bulan lalu.
Sebagai rekod, skuad Hobin Jang Hobin kini semakin hampir menjulang trofi Liga Premier selepas menewaskan Sarawak United 1-0 pada Jumaat lalu sekali gus memiliki kelebihan satu mata ketika saingan berbaki satu perlawanan.
Kata Zaquan, semangat juang yang dipamerkan oleh barisan pemain sangat jitu tetapi pada masa sama tidak boleh terlalu gembira kerana apa sahaja boleh berlaku dalam perlawanan terakhir nanti.
“Kemenangan ke atas Sarawak United amat bermakna kerana selepas kalah dengan Kelantan, kami telah berjanji akan berjuang sehingga ke penghabisan biarpun sasaran untuk layak ke Liga Super telah tercapai.
“Saya harus berterima kasih kepada rakan-rakan kerana bekerja keras hingga minit terakhir walaupun tahap kami mungkin begitu berbeza dengan pemain Sarawak United yang mempunyai kualiti Liga Super,” katanya.
Sementara itu, bekas penyerang skuad Harimau Malaya itu turut mengakui puas apabila dapat menunaikan janji peribadinya untuk menaikkan martabat NSFC selepas berhijrah dari kelab Kedah Darul Aman (KDA FC) awal tahun ini.