KOTA BHARU – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menangkap tujuh ekor gajah liar yang mencari makanan sehingga merosakkan tanaman penduduk di sekitar kawasan kebun di Kampung Lawar, Jeli baru-baru ini.
Tangkapan itu yang dijalankan pada 7, 8 dan 10 September lalu dengan kerjasama kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang, Pahang.
Pengarah Perhilitan Kelantan, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata, operasi menangkap tujuh ekor gajah liar yang dianggarkan berusia dalam lingkungan tiga hingga 30 tahun itu dijalankan susulan daripada aduan berterusan yang diterima daripada penduduk sejak 17 Ogos lalu.
Menurutnya, lima gajah jantan dan dua gajah betina itu dipercayai terdiri daripada kumpulan gajah liar sama yang ditangkap berhampiran Kampung Bukit Ipoh, Jeli pada Ogos lalu.
“Gajah-gajah liar ini dipercayai keluar dari Hutan Simpan Kekal, Gunung Basor di sini untuk mencari sumber makanan di kawasan kampung itu. Siasatan mendapati, populasi gajah liar yang tinggal di kawasan hutan simpan berkenaan dianggarkan lebih daripada 30 ekor.
“Dua ekor gajah denak dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) iaitu Abot dan Rambai telah digunakan bagi membantu operasi pemindahan gajah liar berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Ady Ermanty Haniff, tujuh ekor gajah itu akan dilepaskan semula ke habitat semula jadi di Taman Negara Kelantan-Terengganu-Pahang bermula semalam. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929