KUALA LUMPUR – Sindiket penipuan pelaburan online yang mensasarkan warganegara Korea sebagai mangsa tumpas dengan penahanan tujuh individu di sebuah premis di Mont Kiara, dekat sini semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Mahidisham Ishak berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields bersama Bahagian Siasatan Risikan/Operasi, (JSJK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur telah membuat serbuan di lokasi.
“Seramai tujuh individu warganegara asing berumur lingkungan 26 hingga 35 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut telah ditangkap.
“Turut dirampas 14 unit monitor, tujuh unit pemprosesan pusat (CPU), 14 unit telefon bimbit pelbagai jenama, dua set modem dan satu set router (perangkat jaringan),” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati sindiket itu mula beroperasi sejak Mac lalu dengan mensasarkan mangsa dari negara Korea.
Katanya, kesemua tangkapan direman sehingga Rabu ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) bagi membantu siasatan.
Sekiranya mempunyai maklumat berkenaan kegiatan atau aktiviti yang mencurigakan, hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/ 0585 atau mana-mana balai polis berdekatan. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929