PETALING JAYA – Pandemik Covid-19 telah mengubah corak kehidupan masyarakat dan aktiviti pembelian atas talian melalui e-dagang kini menjadi pilihan untuk mendapatkan bekalan barangan dan perkhidmatan.
Memanfaatkan perkembangan tersebut, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjalin kerjasama dengan FGV Agro Fresh Technology Sdn. Bhd. melalui program PTPTN Prihatin untuk membantu peminjam dari golongan asnaf melibatkan diri dalam perniagaan maya.
PTPTN dalam siaran akhbar yang dikeluarkan di sini berkata, menerusi platform e-dagang Gogopasar yang dikendalikan FGV Agro Fresh Technology, golongan asnaf akan dibimbing untuk menjadi usahawan, atau Gogoprenuer dengan menjual barangan secara online di kawasan Lembah Klang.
“Kami memberikan sumbangan wakalah zakat sebanyak RM100,000 kepada 20 peminjam PTPTN dalam kategori asnaf sebagai modal permulaan, yang mana peserta akan menerima sumbangan bernilai RM5,000 merangkumi penyejuk khas dua pintu, latihan termasuk enam bulan pemantauan, buku pemasaran dan perniagaan, bunting, pelekat kereta, topi dan baju-T.
“Peminjam yang berminat boleh berdaftar melalui kaedah yang akan dimaklumkan oleh FGV Agro Fresh Technology dan pengesahan status peminjam akan dilaksanakan oleh PTPTN melalui kerjasama dengan Lembaga Zakat Negeri,” katanya.
Penyerahan Sumbangan PTPTN disempurnakan Pengerusinya, Datuk Wan Saiful Wan Jan kepada Ketua Pegawai Eksekutif FGV Agro Fresh Technology, Haslinda Alias pada 30 Ogos lalu.
Menurut PTPTN, kerjasama itu diharapkan mampu memberikan ruang dan peluang kepada peminjamnya untuk meneruskan kehidupan dengan ekonomi yang lebih baik di kala berdepan dengan kesukaran situasi pandemik Covid-19. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929