PETALING JAYA – Rata-rata ibu bapa melahirkan kebimbangan apabila Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan pembukaan sekolah secara berperingkat bermula 3 Oktober.
Kata mereka, pembukaan sekolah ketika ini tidak sesuai kerana kes harian Covid-19 masih tinggi dan kebanyakan pelajar pula masih belum menerima vaksin.
Menurut ibu bapa lagi, sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) lebih sesuai dan mereka masih takut untuk menghantar anak-anak ke sekolah kerana risau tercetusnya kluster baharu di sekolah.
Namun, tinjauan Kosmo! di beberapa laman sosial mendapati ‘kebimbangan’ tersebut hanya wujud di sekolah apabila ramai yang memuat naik gambar dan video percutian bersama anak-anak, sama ada di taman rekreasi mahupun di pantai peranginan.
Berdasarkan gambar yang dikongsi itu, nyata ibu bapa langsung tidak ‘bimbang’ membawa anak-anak mereka ke kawasan awam yang penuh dengan orang ramai seolah-olah seperti satu pesta meraikan ‘kebebasan’.
Susulan perkongsian gambar-gambar tersebut, rata-rata pengguna laman sosial mengecam tindakan ibu bapa yang membawa anak ke kawasan berisiko seperti itu.
“Berani bawa anak-anak pergi tempat ramai macam tu, kalau yang pergi ada yang positif atau golongan antivaksin tak pasal-pasal satu keluarga kena kuarantin,” tulis Aqeela Hanis.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Atuk Gemilang.
“Bila kerajaan umum buka sekolah semua tidak setuju, konon bimbang tercetusnya kluster di sekolah kerana anak tidak divaksin lagi.
“Tapi, hari minggu penuh je taman, pantai, kawasan rekreasi pergi riadah dan mandi-manda. Tak takut pula, mereka ingat Covid hanya di sekolah je ke?,”soalnya.
Senada dengan Atuk Gemilang adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Ika Nabilah
“Sekolah nak bukak, masing-masing tak setuju. Cuba kalau kerajaan mansuh kebenaran bercuti dalam negeri, menggelupur semua rasanya,” tulisnya.
Semalam, Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin mengumumkan tarikh pembukaan sekolah bagi negeri-negeri dalam Fasa 2 dan Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah pada 3 Oktober.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929