PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menegaskan, keputusan yang dibuat pengadil perlawanan, Muhammad Kamil Zakaria sewaktu aksi Liga Premier antara Negeri Sembilan FC dan Sarawak United pada Jumaat lalu adalah tepat.
Pada perlawanan tersebut, Kamil melayangkan kad merah terhadap penjaga gol Sarawak United, Sharbinee Allawee atas kelakuan ganas selain menghadiahkan sepakan penalti kepada Negeri Sembilan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk S. Sivasundaram menjelaskan, keputusan yang dibuat pengadil perlawanan adalah tepat dan selari dengan peraturan ditetapkan Lembaga FA Antarabangsa (IFAB).
“Perlawanan antara Sarawak United dan Negeri Sembilan adalah perlawanan yang sengit memandangkan kedua-dua pasukan bersaing untuk merebut takhta kejuaraan Liga Premier 2021.
“Pada pertemuan itu, penjaga gol Sarawak United telah diperintah keluar padang kerana berkelakuan ganas. Jawatankuasa Pengadil FAM menerusi Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil mendapati keputusan pengadil pada malam itu adalah tepat.
“Perkara ini adalah selari dengan lunas Undang-Undang Bola Sepak 21/22 yang sudah digariskan oleh IFAB di bawah Undang-Undang 12. Di bawah Undang-Undang 5 juga menyatakan keputusan pengadil adalah muktamad,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan.
Justeru, beliau menggesa setiap pemain dan pegawai pasukan supaya menyalurkan aduan mengikut saluran yang tepat selain memberitahu, pihaknya sentiasa mengalu-alukan cadangan dalam usaha meningkatkan mutu pengadilan dalam Liga Malaysia.
“Pihak FAM ingin mengingatkan semua pemain dan pegawai pasukan membuat bantahan mengikut saluran yang betul. Tindakan agresif dan menyerang pegawai perlawanan adalah sesuatu yang ditegah dan mencemarkan imej bola sepak Malaysia.
“Bagi Jawatankuasa Pengadil FAM, setiap cadangan untuk penambahbaikan pengadil akan dinilai sebaiknya. Selain itu, tindakan sewajarnya juga akan diambil ke atas mana-mana pegawai perlawanan yang didapati terkhilaf dalam melaksanakan tugas,” ujarnya. – K! ONLINE