fbpx

Pencarian pelapis, bakat versatil Hero Remaja 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SERAMAI 12 finalis berentap untuk merebut gelaran juara Hero Remaja 2021 yang memulakan saingan sejak 11 September lalu.

PROGRAM realiti pencarian bakat Hero Remaja kembali untuk edisi ke-11 dengan misi mencungkil wajah pelapis industri seni di samping menjadi suara baharu dalam kalangan lelaki muda di negara ini.

Sejak dianjurkan dengan edisi 1990/1991, industri seni tanah air telah diwarnai dengan kehadiran finalis Hero Remaja daripada generasi berbeza selama 31 tahun lamanya.

Legasi yang dipegang platform pencarian bakat anjuran Nu Ideaktiv Sdn. Bhd. dengan kerjasama Astro Ria tersebut tersebut kini diteruskan menerusi Hero Remaja 2021.

Bukan hanya pakej rupa paras dan fizikal positif yang dicari, Hero Remaja 2021 juga kekal menjadi platform nombor satu bagi mengangkat bakat, versatiliti dan personaliti berkaliber ke peringkat seterusnya.

Ramai nama besar yang telah dilahirkan daripada program tersebut antaranya juara sulung, Esma Daniel (1990/1991) yang kekal relevan sebagai pelakon dihormati, Zed Zaidi (2001), Kamal Adli (2007/2008) dan Fattah Amin (2011/2012).

PELBAGAI cabaran menanti 12 finalis termasuk kebolehan mengacara dan berlakon.

Tidak ketinggalan, naib juara dan barisan finalis lain dalam semua edisi terdahulu seperti Azhar Sulaiman, Norman Hakim, Wan Shahlim, Zawen Anuar, Fizo Omar, Syafiq Kyle, Saharul Ridzwan, Ben Amir, Ben Ali, Farhan Asri, Harris Annuar, Ikmal Amry, Nabil Aqil dan ramai lagi.

Menurut Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, selepas dua tahun mendepani krisis Covid-19, pelbagai kekangan dan cabaran yang perlu dihadapi seluruh sektor termasuklah industri penyiaran yang terjejas teruk.

Kedatangan pandemik mendorong penganjur melipatgandakan usaha keras secara lebih kreatif, inovatif dan proaktif agar misi penting iaitu membawakan kandungan hiburan berkualiti kepada audiens dapat dijayakan.

“Untuk mencapai sasaran tersebut, kami perlu lebih peka kepada perubahan dan transformasi yang berlaku bagi menyesuaikan diri dengan proses adaptasi norma baharu agar kekal relevan.

“Bagi menganjurkan program realiti pada era serba mencabar ketika ini menuntut dedikasi dan komitmen tinggi daripada semua pihak, baik yang terlibat secara langsung mahupun tidak,” katanya.

Uji kemampuan, versatiliti

Mengulas lanjut, Editor Pengurusan Majalah Remaja, Fiezreen Ahmad berkata, menerusi setiap episod yang bakal disiarkan nanti, finalis akan menempuhi cabaran yang menguji mental, fizikal dan kebijaksanaan mereka sebagai persediaan bergelar anak seni.

“Finalis akan melalui cabaran yang ditetapkan saban minggu. Sesi pengetahuan am masih menjadi salah satu faktor utama pemilihan finalis. Mereka jua diuji dengan kebolehan mengacara dan berlakon untuk melihat versatiliti sebagai seorang peserta Hero Remaja,” katanya.

PESERTA dari Negeri Sembilan, Aryan dan Fazziq (Selangor) antara senarai 12 finalis Hero Remaja 2021.

Sesi uji bakat yang dianjurkan pada Disember tahun lalu dilakukan secara dalam talian buat pertama kali dalam sejarah penganjuran Hero Remaja seiring dengan norma baharu yang ditetapkan kerajaan ketika pandemik.

Sesi tersebut kemudian disambung semula menerusi uji bakat secara fizikal dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) pada April lalu dengan mendapat penilaian ketat daripada barisan para juri jemputan iaitu Datuk Aaron Aziz, Datin Fouziah Gous, Norman Hakim, Que Haidar dan Anzalna Nasir.

Seramai 12 finalis Hero Remaja 2021 dibarisi oleh Afiq Hamidon (Selangor), Alif Haiqal (Kuala Lumpur), Amir Ahnaf (Terengganu), Aryan Naim (Negeri Sembilan), Aqil Taqee (Kuala Lumpur), Farhan Nordin (Johor) dan Fazziq Muqris (Selangor).

Tidak ketinggalan, Ideen Azman dari Melaka, Mierul Aiman (Putrajaya), Syazani Zainal (Selangor), Zaid Erakad (Selangor) dan Zaim Yazid (Selangor).

Hero Remaja 2021 mula menemui penonton selama lapan episod sejak 11 September pada setiap Sabtu, pukul 9 malam menerusi saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124).

Program berkenaan menampilkan juara Dewi Remaja 2019, Shaza Bae dan juara Hero Remaja 2020, Nadhir Nasar sebagai hos, sementara kerusi juri tetap kembali diduduki oleh juara Dewi Remaja 2005/2006, Scha Alyahya.

PESERTA dari Terengganu, Amir (kiri) dan Syazani (Selangor) antara peserta termuda yang bersaing dalam Hero Remaja 2021.

Scha pula bergandingan dengan pelakon, penerbit, pengarah dan usahawan, Datuk Rosyam Nor selaku hos bersama.

Pemilihan aktor itu mengambil kira pengalaman dalam pelbagai cabang bidang seni dan kebolehannya menggilap bakat baharu sepanjang berada dalam industri.

Selain itu, terdapat dua kategori lain dipertaruhkan iaitu Hero Inspirasi dan Hero Favourite yang membolehkan peminat mengundi finalis pilihan menerusi laman web www.remaja.my/hero setiap hari.

Pengalaman bersama 12 finalis juga boleh disaksikan menerusi laman digital dan media sosial Majalah Remaja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI