PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan akan mengambil tindakan terhadap orang ramai yang didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP), terutamanya penjarakan fizikal ketika beriadah di tempat awam.
Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Mastor Mohd. Ariff berkata, tindakan tegas akan diambil sekiranya keadaan tidak dapat dikawal susulan jumlah pengunjung yang terlalu ramai.
“PDRM menyedari keghairahan orang ramai beriadah di sungai, padang dan pantai terutamanya melibatkan warga Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Justeru itu PDRM akan sentiasa membuat pemantauan dan hebahan dari semasa ke semasa dengan memberi nasihat agar mereka mematuhi SOP dan penjarakan sosial,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pihak polis tidak bercadang untuk menutup tempat-tempat awam yang didapati sesak memandangkan semakan mendapati pengunjung datang daripada gelembung yang sama namun akan meningkatkan pemantauan di kawasan tersebut.
“Kebanyakan mereka yang berkunjung untuk beriadah merupakan daripada ahli keluarga yang tinggal bersama dan lokasi-lokasi berkenaan hanya sesak pada hari Sabtu dan Ahad sahaja,” ujar beliau. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929