PETALING JAYA – Kejadian aneh tular di media sosial apabila seorang pengguna aplikasi MySejahtera keliru setelah aplikasi itu mengemas kini datanya kepada individu dijangkiti Covid-19 secara tiba-tiba tetapi individu lain yang melakukan ujian dan positif virus tersebut.
Menurut pengguna Twitter @ctnurhidaya berkata, individu itu adalah kakaknya dan memaklumkan pihak MySejahtera telah melakukan kesilapan.
“Hello @my_sejahtera, individu Nurul Ashikin Abdul Ghani guna kad pengenalan kakak saya untuk buat ujian Covid-19 di Johor.
“Kakak saya bernama Nurul Ashikin Abdul Ghaib kini bekerja di Sandakan, Sabah. Kini aplikasi MySejahtera kakak saya yang dikemas kini, dia tidak boleh mengimbas aplikasinya itu berikutan kesilapan individu tersebut,” ciapnya di Twitter hari ini.
Difahamkan, pihak klinik yang melakukan ujian Covid-19 terhadap individu bernama Nurul Ashikin Abdul Ghani memberitahu, individu itu memberikan info peribadi seperti nombor kad pengenalan yang sama seperti kakaknya cuma nama bapa yang berbeza.
Orang ramai kemudiannya menceritakan pernah mengalami pengalaman yang sama.
“Pernah jadi kepada diri sendiri. Klinik salah ‘key in’ nama. Klinik cakap pihak ‘lab’ (makmal) yang salah. Masalahnya laporan dari klinik pun salah juga. Dua ke tiga hari juga kena tunggu kemas kini yang betul. Itu pun sebab tanya,” kata Farah.
“Perkara ini pernah terjadi kepada adik ipar saya, dia tak pernah buat ujian calitan pun, tiba-tiba dapat khidmat pesanan ringkas (SMS) dari pihak Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan dia positif Covid-19 dan MySejahtera (bertukar) jadi merah. Hendak pergi mana pun tak boleh, macam mana nak buat tu,” ujar MalaMy.
Sementara itu, Khairul Nizam menyarankan untuk membuat laporan polis sebagai langkah berjaga-jaga.
“Buat laporan kepada pihak polis. Kita tidak tahu akan datang dia akan buat apa lagi dengan nombor kad pengenalan kakak awak,” jelasnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929