LAGU Negaraku berkumandang megah di bumi Austria selepas pelumba muda negara, Nazim Azman memastikan kemenangan sulung perlumbaan Euroformula Open ketika bersaing di Litar Red Bull Ring semalam.
Nazim yang beraksi bersama pasukan CryptoTower Racing memulakan saingan di petak pertama dilihat tidak berdepan sebarang masalah untuk mendominasi perlumbaan sepanjang 23 pusingan bagi Perlumbaan Keenam.
Impian Nazim untuk meraih kemenangan akhirnya menjadi kenyataan apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan pertama, sekali gus menjadi pelumba Malaysia pertama menguasai saingan Euroformula.
Tempat kedua dimenangi pelumba Van Amersfoort Racing, Cem Bolukbasi dan rakan sepasukan Nazim, Louis Foster di tempat ketiga.
“Saya telah meraih tujuh podium ketika ini dan ini adalah kemenangan pertama saya. Saya sangat gembira kerana berjaya meraih kemenangan hari ini.
“Saya hanya mahu meraikan kemenangan bersejarah ini bersama dengan anggota pasukan dan saya bertekad untuk meraih podium lagi menjelang aksi seterusnya,” katanya sejurus tamat perlumbaan semalam.
Hasil keputusan itu, Nazim kini menduduki tangga keempat keseluruhan dengan 208 mata dan hanya dipisahkan 49 mata dengan Foster selepas mengumpul 257 mata.