MONZA – Pasukan McLaren Mercedes mencatat sejarah tersendiri apabila meraih kemenangan dramatik 1-2 menerusi Daniel Ricciardo dan Lando Norris di Grand Prix (GP) Itali sebentar tadi.
Kemenangan tersebut hadir selepas pesaing utama Max Verstappen (Red Bull) dan pelumba Mercedes, Lewis Hamilton sekali lagi terlibat dalam kemalangan sesama sendiri sehingga menyebabkan kedua-dua tersebut terkeluar daripada saingan itu.
Insiden tersebut membuka ruang kepada Ricciardo untuk memastikan kemenangan menjadi milik mereka sekali gus menamatkan penantian sembilan tahun McLaren yang tidak pernah menjuarai Grand Prix sejak 2012.
Norris mengakhiri perlumbaan tempat kedua sementara pelumba Mercedes, Valtteri Bottas menaiki podium tempat ketiga selepas Sergio Perez (Red Bull) dikenakan penalti lima saat.
“Saya sangat teruja dengan kemenangan hari ini terutama menguasai perlumbaan tersebut dengan baik. Saya tidak rasa semua orang menjangkakan keputusan ini.
“Saya dapat rasakan sesuatu pada Jumaat lalu dan saya tahu akan ada berita baik buat saya. Kami bukan sekadar mencatat kemenangan tetapi meraih keputusan 1-2 dan ia adalah satu keputusan yang luar biasa.
“Menaiki podium adalah satu keputusan yang hebat bagi McLaren apatah lagi kami mencapai kemenangan 1-2 seperti ini,” kata Ricciardo.
Hasil kemenangan tersebut, Verstappen yang gagal menamatkan perlumbaan masih kekal mendahului carta kedudukan pelumba dengan 226.5 mata manakala Hamilton tangga kedua dengan 141 mata. – K! ONLINE